fbpx

Konflik Palestin-Israel: Israel alih sasaran ke selatan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita yang cedera diselamatkan dari runtuhan sebuah bangunan yang diserang askar Israel di Khan Yunis, kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Rejim Zionis mengarahkan penduduk bandar terbesar di selatan Gaza, Khan Yunis agar meninggalkan kediaman masing-masing ketika pengeboman tanpa henti askar Israel memasuki minggu ketujuh, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Populasi penduduk bandar tersebut kini meningkat daripada kira-kira 400,000 orang kepada lebih sejuta selepas ratusan ribu orang meninggalkan utara Gaza.

Arahan terbaharu itu memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan askar Israel mungkin akan disasarkan ke bahagian selatan Semenanjung Gaza selepas ini.

Kelmarin, beberapa peluru berpandu askar Zionis dilancarkan ke arah sebuah bangunan kediaman di Khan Yunis yang telah membunuh 26 orang, demikian menurut seorang pegawai kesihatan.

Sejak itu, Zionis mengedarkan risalah pengumuman di kawasan lebih meluas serta menggesa orang ramai agar berpindah ke ‘pusat-pusat perlindungan’.

“Kami menggesa orang ramai agar berpindah. Kami tahu ia bukan mudah untuk mereka, namun kami tidak mahu melihat orang awam terlibat di tengah-tengah pertempuran,” kata penasihat Perdana Menteri Israel, Mark Regev.

Tambah pegawai kanan Benjamin Netanyahu itu, tentera Israel perlu mara ke bandar untuk memastikan pejuang Hamas keluar dari terowong bawah tanah.

Tambahnya, dia agak pasti bahawa penduduk yang digesa untuk berpindah tidak perlu berpindah lagi selepas itu jika mereka menuju ke barat iaitu ke arah Laut Mediterranean.

“Saya berharap kawasan yang mereka akan berpindah itu mempunyai khemah dan hospital,” katanya meskipun tiada sebarang pelan dinyatakan mengenai kawasan yang didakwa pusat pemindahan tersebut.

Selain itu, tidak dapat dipastikan bahawa kemudahan seumpama itu sekiranya ada sekali pun, dapat menampung lebih sejuta pelarian. Tiada juga jaminan bahawa askar Zionis tidak akan menyerang kem pelarian berkenaan seperti yang dilakukan di beberapa lokasi lain sebelum ini.

“Disebabkan kawasan Khan Yunis berdekatan dengan Lintasan Rafah di Mesir, bantuan kemanusiaan mungkin boleh dibawa masuk secepat mungkin,” ujar Regev.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk Semenanjung Gaza kini kehilangan tempat tinggal dengan kebanyakannya berlindung di kemudahan-kemudahan PBB, hospital, gereja dan bangunan awam.

Kebanyakan pertempuran baru-baru ini bertumpu di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, di mana askar Zionis mendakwa bahawa kemudahan itu menempatkan pusat arahan Hamas di bawah bangunannya.

Hamas dan pentadbiran hospital terbesar di Gaza itu berkali-kali menafikan tuduhan tersebut, manakala Israel sehingga kini masih gagal mengemukanan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Dalam operasi ketenteraan terbaharu, Zionis mengarahkan Hospital Al-Shifa dikosongkan serta-merta kelmarin dengan mengarahkan pesakit, kakitangan perubatan serta semua pelarian yang berlindung di situ berpindah.

Seorang wartawan agensi berita AFP yang menyaksikan pergerakan itu berkata, orang ramai berjalan kaki keluar dari hospital tersebut sambil memegang bendera putih.

“Mereka mendesak Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya agar melaksanakan pemindahan pesakit, individu yang cedera, pelarian dan kakitangan perubatan dengan berjalan kaki ke arah kawasan pantai,” kata wartawan berkenaan. – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI