Perubahan iklim yang ketara, masalah sekuriti makanan dan kebergantungan syarikat pengeluar makanan kepada hasil sumber penternakan haiwan dan juga pertanian adalah antara isu global yang memberi idea kepada banyak syarikat teknologi menghasilkan inovatif ke arah kelestarian dan kemampanan bagi manfaat generasi masa depan.
Menyedari peluang berpotensi daripada isu tersebut, sebuah syarikat tempatan, GoodMorning Global Group Holdings Berhad (GoodMorning) telah menceburi bidang teknologi terkini sejak tahun 2008 dan menggunakan bioteknologi untuk membangunkan penyelesaian makanan berasaskan tumbuhan yang mampan, sihat dan inovatif.
Hasilnya syarikat itu kini memasarkan pelbagai jenis produk termasuk GoodMorning VPlus 18 Grains dan terbaharu adalah WonderMeat yang melancarkan produk daging berasaskan tumbuhan atau plant-based meat (PBM) iaitu produk pemakanan lengkap campuran kering yang pertama di Malaysia.
Berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan GoodMorning, Dr. Charles Cheng Fang Chin di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata, WonderMeat telah menjalani proses kajian dan pembangunan lebih tujuh tahun dengan pelbagai ujian, cubaan dan pelbagai lagi untuk penghasilan produk tersebut.

“Untuk menghasilkan produk yang berkhasiat, kami perlu mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Produk ini dijual di bawah harga Rahmah dan ini adalah satu tawaran bernilai untuk membolehkan semua orang menikmati makanan sihat dan berkhasiat,” jelasnya selepas majlis pelancaran produk tersebut.
KOSMO!: Boleh jelaskan mengenai pelancaran produk baharu pada hari ini?
FANG CHIN: Kami melancarkan WonderMeat sebagai produk daging berasaskan tumbuhan atau plant-based meat (PBM) yang dibangunkan untuk meniru rasa dan tekstur daging haiwan bagi menghasilkan produk pemakanan lengkap campuran kering yang pertama di Malaysia.
Syarikat menjangkakan pelancaran ini akan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk pilihan makanan berasaskan tumbuhan.
Produk makanan ini didatangkan dalam bentuk serbuk. WonderMeat diperbuat daripada soya dan kacang pis serta kaya dengan serat makanan dan protein. Ia juga diperkaya dengan CaHMB dan 28 jenis vitamin serta mineral bagi memastikan pemakanan yang lengkap dalam setiap hidangan.
Kenapa syarikat memilih teknologi ini dan adakah ia menjadi trend?
Inisiatif ini akan membolehkan kami tidak bergantung kepada penternakan binatang dan protein haiwan sehingga boleh menyebabkan isu pemanasan rumah hijau, selain perubahan iklim yang semakin ketara kini.
Selain itu, pada masa depan, kami akan beralih kepada teknik ‘pertanian protein’ yang mana kami akan memfokuskan kepada usaha menghasilkan protein mikro bio.
Ia akan mengurangkan tumpuan kepada pengeluaran pertanian. Ia adalah seperti vertical farming yang membolehkan kami membuat kultur yis, cendawan, fungus di dalam kilang yang gelap selain mengekstrak protein.
Ini adalah perkembangan terbaharu untuk memenuhi keperluan serta pertambahan penduduk masa depan.

Apakah kelebihan pengeluaran produk daripada teknik terbaharu ini?
Kami meneroka bidang ini kerana terdapat banyak manfaat untuk masa depan dan juga pada generasi akan datang.
Memandangkan kami adalah pengeluar makanan kering lengkap dengan khasiatnya, maka sumber produk tidak bergantung kepada sistem penyimpanan dalam peti sejuk, rangkaian logistik sejuk dan gudang kami hanya berada dalam suhu normal. Sehubungan itu, kos operasi dan logistik dapat dikurangkan.
Sementara itu, melalui keupayaan pengangkutan yang diperkemas, hayat simpan yang lebih lama, kos serta jejak karbon yang lebih rendah, serbuk WonderMeat mampu mengubah industri makanan untuk menjadi lebih mampan.
Kami juga boleh menawarkan harga produk makanan mampu milik kepada pelanggan iaitu di bawah pakej Rahmah, RM4.95 satu pek. Dengan harga tersebut, kami yakin lebih ramai orang yang tidak berkemampuan mengakses kepada daging, maka mereka boleh membeli produk ini. Malah, boleh memasaknya dengan pelbagai cara untuk menikmati rasa seperti daging.
Boleh jelaskan tentang kilang pengeluaran dan kapasiti semasa?
Kami ada kilang di Seksyen 15, Shah Alam lengkap dengan pusat kajian dan pembangunan. Kami juga dalam perancangan untuk mengembangkan operasi ke Bukit Raja, Klang.
Kilang ini memiliki kapasiti daripada tiga metrik tan sehari sehinggga kepada 100 tan metrik sebulan.
Kami akan mempertingkatkan kapasiti kilang kepada automasi sepenuhnya sehingga membolehkan pengeluaran bertambah kepada pertumbuhan 1.5 hingga dua kali ganda. Ini seiring dengan permintaan daripada pelanggan kerana trend ini terus bertambah.

Adakah produk ini mendapat pengesahan sijil halal?
Pelanggan sedia kami adalah daripada pelanggan bukan Muslim dan juga kumpulan vegan, tetapi kami sedang meningkatkan usaha untuk menembusi pasaran Muslim.
Sehubungan itu, kami sedang membuat permohonan untuk pengiktirafan halal dan penilaian untuk proses itu berlaku pada awal tahun depan.
Apakah perancangan terbaharu syarikat tahun depan?
Kami ke arah IPO (tawaran awam awal) dan kami menjangkakan syarikat akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada separuh kedua tahun depan.
Kami memang layak untuk IPO kerana ia bukan semata-mata untuk menjadi syarikat senarai awam dan hanya kerana akses kepada modal semata-mata tetapi juga syarikat telah mendapat satu pengiktirafan dan pengesahan daripada pasaran.
Ini adalah satu kelebihan buat syarikat apabila kami mengembangkan sayap perniagaan ke Asia Barat, pasaran Eropah dan Amerika. -KOSMO! ONLINE






