fbpx

‘Henti sebar video anak menggelupur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar budak lelaki berusia 12 tahun yang melecur akibat terkena renjatan elektrik dalam bilik jana kuasa TNB di Balik Pulau kelmarin.

BALIK PULAU – Bapa kepada budak lelaki berusia 12 tahun yang melecur akibat terkena renjatan elektrik dalam bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai menghentikan penyebaran video memaparkan anaknya sedang mengerang kesakitan akibat kejadian malang itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang kelmarin, Mohd. Dawisy Zarif Mohd. Khairi, 12, terkena renjatan elektrik selepas dikatakan mahu mengambil bola yang terpelanting ke dalam bilik jana kuasa berkenaan.

Mangsa dikatakan memanjat pagar di luar bilik itu sebelum terjatuh melalui satu lubang.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain bola bersama rakannya di gelanggang futsal yang terletak bersebelahan dengan bilik jana kuasa TNB terbabit.

Mohd. Khairi Abdul Ghani, 38, berkata, video berkenaan sangat menyentuh hati mereka sekeluarganya dan bimbang akan mendatangkan trauma kepada anak ketiganya itu.

“Kalau boleh, hentikanlah sebar video-video tersebut (video kejadian), bimbang ia akan memberi kesan kepada anak sebaik dia pulih nanti selain tidak dapat menerima kecaman negatif susulan kejadian berlaku,” katanya di sini semalam.

Cerita Mohd. Khairi, anaknya yang melecur 48 peratus dan kini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, dia mengharapkan agar anak bongsu yang juga pasangan kembar seiras daripada tiga beradik itu segera pulih seperti sedia kala.

“Anak saya ditidurkan sejak malam tadi (kelmarin) dan mungkin disebabkan keadaan melecur pada seluruh hadapan badannya.

“Saya harap dia (anak) cepat sembuh daripada kecederaan melecur. Memang tak sangka boleh berlaku sebegini dan dia selepas kejadian juga dikatakan masih kuat kerana boleh berjalan selain menahan sakit,” ujarnya.

Mohd. Khairi yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) di Lumut, Perak, memberitahu, dia dimaklumkan mengenai tragedi menimpa anaknya daripada pegawainya dan bergegas pulang ke Pulau Pinang.

“Anak saya memang aktif bersukan dan sering bermain bola dengan rakan-rakan di gelanggang tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, TNB dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian percikan arka melibatkan ­mangsa budak lelaki berusia 12 tahun di pencawang TNB di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menurut TNB, pihaknya simpati kepada mangsa dan keluarga selain berharap kanak-kanak tersebut menerima rawatan terbaik di hospital.

“Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menularkan video kejadian bagi menghormati mangsa dan keluarga.

“Kami ingin mengingatkan bahawa kawasan pencawang ­elektrik adalah kawasan larangan umum dan berbahaya. Orang ramai perlu mengelak daripada memasuki kawasan ini tanpa kebenaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI