fbpx

‘Duit seringgit pun saya tak ada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba memadam kebakaran rumah pusaka di Jalan Bukit Senjuang, Melaka.

MELAKA – Seorang bapa tunggal dan dua anaknya yang masih kecil hilang tempat berteduh dalam sekelip mata apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Bukit Senjuang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, rumah pusaka berkeluasan 2,400 kaki persegi itu musnah 80 peratus.

Menurut mangsa, Abdul Wafi Rostam, 29, kejadian berlaku ketika dia keluar mengambil dua anaknya berusia enam dan lapan tahun daripada rumah pengasuh berhampiran.

“Dalam perjalanan balik nampak asap hitam keluar dari kawasan rumah, saya ingat jiran bakar sampah.

“Bila sampai saya terkejut melihat salah sebuah bilik sedang terbakar dan segera menelefon bomba meminta bantuan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, dia yang bekerja sebagai pembantu di kedai perkakas ada menabung wang tunai sebanyak RM800 untuk menampung perbelanjaan keluarganya, namun simpanan itu juga musnah dalam kebakaran tersebut.

“Seringgit pun saya tak ada sekarang ini, memang sehelai sepinggang, termasuklah dokumen penting juga musnah. Kini kami menumpang di rumah tumpangan di Permatang Pasir.

“Anak-anak saya beritahu mereka tetap mahu ke sekolah pada Isnin ini walaupun baju sekolah telah terbakar, itu yang membuatkan saya sedih kerana tak mampu menggantikan terus yang baharu,” katanya.

Ujarnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman turut mengunjungi keluarganya semalam dan memberikan bantuan awal termasuk pengurusan pakaian harian.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu, Penguasa Bomba Kanan II K. Karuppanan berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.19 petang dan sepasukan 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran berjaya di kawal kira-kira 20 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI