fbpx

Inflasi turun sebab makan di restoran, selenggara kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaik Abdul Rasheed pada sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi secara keseluruhan terus menurun kepada dua peratus pada suku tahun ketiga 2023 berbanding 2.8 peratus pada suku tahun kedua.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, kadar itu yang meliputi inflasi bukan teras dan inflasi teras dijangka berterusan untuk suku keempat 2023 disebabkan keadaan kos yang lebih rendah.

“Bagi inflasi bukan teras, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan berkenaan.

“Inflasi teras mencatatkan penurunan kepada 2.5 peratus berbanding 3.4 peratus pada suku tahun kedua 2023 tetapi kekal melebihi purata jangka panjang iaitu 2 peratus (2011-2019).

“Penurunan kadar inflasi teras ini sebahagian besarnya disumbangkan perkhidmatan terpilih termasuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta penyelenggaraan pengangkutan persendirian,” katanya pada sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, di sini hari ini.

Shaik Abdul Rasheed berkata, rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 40.8 peratus di bawah purata jangka panjang sebanyak 44.5 peratus (2011-2019).

“Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5 hingga tiga peratus pada 2023,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar empat hingga lima peratus pada 2024.

“Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil.

“Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi sekali gus memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, terdapat kecenderungan ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan berpunca daripada permintaan luar yang lemah serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.

“Namun, masih wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat, permintaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI