fbpx

Perak beri 3 tahun pengusaha ladang unggas tukar sistem tertutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Zolkafly (kiri) menunjukkan teks kenyataan media dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerajaan negeri memberi tempoh tiga tahun kepada pengusaha ladang ternakan unggas untuk melaksanakan konsep sistem tertutup selaras dengan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) yang diwartakan pada 20 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sebanyak 295 ladang reban terbuka hendaklah menukar kepada sistem tertutup sebelum tahun 2026.

“Setakat ini, hanya 203 daripada 507 ladang telah dilaksanakan secara tertutup manakala 295 ladang reban terbuka dan sembilan adalah ladang bercampur.

“Selaras dengan pelaksanaan pindaan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah mengambil langkah turun padang melalui program ‘roadshow’ bagi memberi informasi, penjelasan dan kefahaman kepada pemegang taruh khususnya penternak ayam di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga menyasarkan sebanyak 30 peratus setiap tahun bagi pengusaha ladang sedia ada mahupun yang baharu untuk melaksanakan sistem tertutup secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Mohd. Zolkafly berkata, bagi pengusaha ladang ternakan yang tidak berdaftar juga boleh memohon lesen yang sah dalam tempoh pemutihan sehingga tahun 2026.

“Tempoh pemutihan selama tiga tahun ini mencukupi untuk pengusaha-pengusaha ladang ternakan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya, pindaan ini bertujuan untuk ke arah sistem reban tertutup sepenuhnya menjelang 2026 untuk menangani aduan kacau ganggu lalat dan pencemaran.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI