fbpx

Campak 3kg daun ganja segar dalam laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM mengambil bungkusan berisi daun ganja segar yang dibuang penyeludup ke dalam laut di perairan Langkawi, malam tadi.

LANGKAWI – Cubaan penyeludup membawa masuk tiga kilogram (kg) daun ganja segar dari Thailand ke negara ini dengan menggunakan bot fiber gagal apabila pergerakan suspek berjaya dikesan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Kemarung, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi berjaya mengesan bot dinaiki penyeludup yang sedang bergerak masuk ke perairan Langkawi dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, maklumat itu kemudian disalurkan kepada bot peronda yang sedang melaksanakan operasi Op Aman dan Op Tiris 2.0.

“Bot peronda tersebut terus pergi ke lokasi berkenaan bagi memintas dan menyerbu bot tersebut, namun suspek bertindak membuang tiga bungkusan plastik berisi daun ganja ke laut sebelum menukar haluan dengan berpatah balik ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik yang dibuang itu menemui daun ganja segar dengan anggaran berat tiga kilogram bernilai lebih RM9,000.

“Daun ganja segar itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI