fbpx

34kg syabu dalam peket teh bernilai RM1.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bagasi yang dirampas dari LTAK, yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas dadah jenis syabu seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang diseludup masuk ke sini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Pengarah Kastam Sarawak, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dadah yang dibawa menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dirampas menerusi dua tangkapan pada 3 November lalu.

Katanya, tangkapan pertama pukul 12 tengah hari apabila pihaknya menyita sebuah bagasi tidak dituntut selepas semakan awal Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak mendapati bagasi itu tiba di LTAK menggunakan penerbangan AK 5210 dari KLIA.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi berkenaan membawa kepada penemuan 20 peket teh Guan Yi Wang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat 20.336 kilogram dan nilai pasaran RM727,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Cawangan Narkotik JKDM Sarawak sedang berusaha mengesan pemilik bagasi berkenaan.

Taufik berkata, tangkapan kedua kira-kira pukul 10 malam apabila Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak menahan dua lelaki tempatan yang tiba di LTAK melalui penerbangan AK 5228, Kuala Lumpur – Kuching.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan kerana imej imbasan ke atas dua bagasi yang dibawa oleh salah seorang daripadanya menunjukan tanda positif bahan narkotik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua bagasi berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah 14 peket berwarna hitam dengan cetakan imej ikan yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 14.178 kilogram bernilai RM497,600,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu telah melakukan silang bagasi iaitu masing-masing membawa bagasi yang didaftarkan bukan atas nama sendiri.

Katanya semakan identiti kedua-dua lelaki terbabit mendapati, seorang daripadanya berusia 28 tahun tidak bekerja dan seorang lagi berusia 32 tahun mengambil upah sebagai ‘rider’.

“Mahkamah telah mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula 4 November lalu ke atas kedua-dua suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI