fbpx
SABRI YUJUS dan Angeline Tan dihujani rezeki tajaan majlis perkahwinan.

‘Sudah banyak kali kami bersanding’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASANGAN pengantin otai, Sabri Yunus dan Angeline Tan sama sekali tidak menyangka rezeki perkahwinan sehebat apa yang diterima sehingga kini. Diraikan dengan tiga buah majlis persandingan yang mendapat tajaan sepenuhnya sememangnya tidak masuk akal untuk dilalui selebriti senior seperti mereka.

Bahkan dalam majlis persandingan ketiga yang berlangsung di Rose Hall, Glo Mall Damansara baru-baru ini, Angeline ataupun nama Islamnya Ardini Angeline Tan turut berpeluang mengayakan gaun kembang berona putih bernilai RM100,000 rekaan Anas Abdullah.

“Saya seakan-akan tidak percaya dan tidak terfikir berpeluang mengayakan gaun seperti ini, bagai dalam mimpi. Ini kerana, saya seorang yang sangat ringkas.

“Kami juga tidak pernah merancang dan tidak pernah terfikir pun hendak melangsungkan persandingan besar-besaran. Saya berasa sangat bersyukur apabila ada pihak buat majlis untuk kami,” ujar Angeline.

Ditebak tentang deretan majlis persandingan yang telah berlangsung sejak mereka bernikah pada 14 Oktober lalu, Sabri hanya ketawa panjang.

BERKAHWIN ketika sama-sama telah berusia, Angeline tidak menyangka ada pihak sudi menaja setiap inci majlis persandingan mereka, termasuk gaun putih berharga RM100,000 sentuhan Anas Abdullah yang digayakan kali ini.

Namun, dedah lelaki berusia 62 tahun itu, masih ada empat tawaran tajaan majlis persandingan yang dalam pertimbangannya.

“Ini persandingan kali ketiga, memang ada lagi tawaran tajaan persandingan, tetapi saya masih berfikir dan mahu lihat jadual kerja terlebih dahulu.

“Rasanya sudah banyak kali saya bersanding (ketawa). Saya harap kalau ada lagi majlis persandingan, saya lebih suka majlis dibuat untuk kelompok kecil.

“Jujur, saya tidak pernah sangka akan diraikan seperti ini tetapi kami pernah bergurau jika kami berkahwin pasti ramai orang akan mendoakan kami,” tuturnya.

Saat disoal, sudahkah pelakon dan pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei itu membiasakan diri dengan rutin sebagai suami selepas 16 tahun menduda, semakin panjang ketawanya.

“Sebenarnya sehingga ke hari ini kami bukan melayari bahtera perkahwinan, sebaliknya kami melayari suasana sebegini.

“Sibuk ke stesen radio dan sesi fotografi bersama media serta sesi temu bual perkara-perkara ini rasanya belum berhenti lagi,” kata Sabri.

BUKAN hanya ketika diraikan sebagai pasangan mempelai, Sabri menyifatkan seluruh perjalanan hubungan dengan Angeline sebagai sangat manis dalam hidupnya. – Muhammad Iqbal Rosli

Harapan

Bersahabat selama 32 tahun dan menduda selama 16 tahun tidak menjadikan Sabri kekok apabila bergelar suami kepada Angeline.

“Kami bukannya baru kenal untuk ada rasa kekok. Saya melihat Angeline sama seperti sebelum, walaupun sudah menjadi suami isteri kami masih meneruskan nilai-nilai persahabatan itu,” ujar Sabri yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.

Bercakap tentang harapan kata Angeline, seperti mana doa orang ramai terhadap perkahwinan mereka, begitu jugalah harapan kedua-dua pelakon yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.

“Kami percaya akan membina keluarga ini lebih baik daripada dahulu. Terutama dengan pengalaman menerusi perkahwinan terdahulu dan sekarang ada pasangan yang lebih menyayangi, memahami dan sangat baik.

“Dengan doa-doa dan sokongan daripada kawan-kawan, peminat serta saudara-mara, kami juga mendoakan harapnya perkahwinan ini akan bahagia selamanya,” luah Angeline.

Bercakap tentang kemanisan tertinggi yang dirasai, Sabri menyifatkan semua fasa yang dilalui mereka daripada bersahabat, bercinta dan berkahwin adalah sangat manis.

“Memang tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan sahabat sendiri, kalau fikir tidaklah saya menduda selama 16 tahun. Fikir balik terasa rugi juga (ketawa).

“Tetapi kalau hubungan kami bermula lebih awal mungkin tidak semanis hari ini,” ujar Sabri yang menjelaskan erti bulan madu adalah sentiasa bersama isterinya.

SEJAK bernikah sebulan lalu, sudah tiga majlis persandingan dengan tajaan sepenuhnya dianjurkan pelbagai pihak bagi meraikan penyatuan cinta Sabri dan Angeline.

Islam

Berbicara soal agama, Angeline mengakui masih belum menghadiri mana-mana kursus khas atau kelas agama sebaliknya, hanya mendapat bimbangan daripada suami dan beberapa orang ustaz kenalan Sabri.

“Abang adalah ustaz saya. Saya juga ada belajar daripada beberapa orang ustaz lain seperti Dr. Maza (Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin). Abang Sabri sentiasa ada bersama saya untuk terangkan tentang ilmu agama,” ujar Angeline.

Sebagai suami Sabri menjelaskan, dia lebih menitikberatkan penerimaan dan pemahaman konsep agama Islam terlebih dahulu kepada isterinya sebelum Angeline menghadiri kelas agama.

“Saya fikir kursus atau kelas agama itu adalah fasa kedua selepas dia memahami konsep Islam itu sendiri,” kata Sabri.

Dengan imej yang kini berhijab, Angeline juga percaya lakonannya berjalan seperti biasa. Malah, masih terdapat kerja lakonan sebelum memeluk Islam yang tertangguh.

SEBAGAIMANA doa semua pihak, Angeline dan Sabri mahu sentiasa bahagia hingga akhir nyawa menerusi perkahwinan kedua mereka ini.

Akhlak

Justeru, Angeline mengharapkan pemahaman dan tidak dijatuhkan hukum apabila tidak berhijab dalam televisyen.

“Sebelum ini saya memang tidak merancang untuk berhijab selepas memeluk Islam. Tetapi selepas itu saya melihat dan belajar sendiri dan rasa untuk berhijab datang dengan sendiri tanpa sebarang paksaan.

“Cuma kerja yang tertangguh dan watak-watak yang telah saya janjikan sebelum berhijab perlulah diselesaikan.

“Buat netizen, saya masih baru peluk Islam dan masih belajar tentang akhlak. Saya percaya netizen sangat baik, mereka sangat memahami dan memberi ruang kepada saya bekerja buat sementara ini,” tutut Angeline yang merupakan ibu kepada dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

Sebelum menutup bicara diajukan soalan pada Angeline adakah dia merancang untuk membawa kedua anaknya mengenal Islam sepertinya, jawabnya biarlah masa yang menentukan.

“Pada masa ini anak-anak terima kami dengan sangat baik. Mereka memahami, dan saya tidak paksa mereka (masuk Islam). Biarlah saya jadi satu contoh yang baik dan apabila sampai masanya mereka sendiri yang akan minta,” ulas Angeline.

SEPANJANG tempoh sebulan ini, Sabri mengakui belum sempat menikmati sepenuhnya alam berumah tangga sebaliknya sibuk menyantuni undangan dan panggilan fotografi media bercerita tentang kisah perkahwinan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN