fbpx

Semua pelajar tadika Siti Nurhaliza di Palestin dalam keadaan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nurhaliza (dua dari kanan) bersama sebahagian peserta program Bijihad di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor hari ini.

SHAH ALAM- Lebih 100 orang kanak-kanak Tadika Afwa Al-Afiyah yang dibangunkan Yayasan Nurjiwa di Gaza, Palestin berada dalam keadaan selamat meskipun bandar tersebut kini dibedil teruk oleh tentera Zionis.

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, mereka kini berada di Selatan Gaza bersama 10 orang tenaga pengajar tadika berkenaan setelah diminta berpindah di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, Allah melindungi mereka sehingga sampai ke sana, tetapi apa yang menyedihkan adalah kanak-kanak ini berpindah sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa langsung.

“Apapun yang lebih penting adalah mereka semua dalam keadaan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas program Bizjihad di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Menurut pelantun lagu Cindai itu, pihak yayasan telah menghantar pakaian, selimut dan bahan makanan kepada semua kanak-kanak itu, baru-baru ini.

Tambahya, beliau bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa sentiasa menantikan perkembangan terkini keadaan di Selatan Gaza daripada rakan baik mereka, Dr. Mohanad.

“Memang sukar untuk hubungi dia (Dr. Mohanad) ketika ini kerana kebanyakan kawasan kini tiada liputan internet kecuali di sebuah hospital di Selatan Gaza,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza bertekad untuk membangunkan semula tadika tersebut sekiranya musnah agar kanak-kanak Palestin terus mendapat pengajian asas.

“Teruskan berdoa untuk Palestin. Mana tahu, ada doa rakyat Malaysia dimakbulkan Allah sekaligus menghentikan krisis ini,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI