fbpx

Dr. Mahathir tidak suka KJ kerana bertanding lawan anaknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin dalam tayangan podcast Keluar Sekejap.

PETALING JAYA – “Kenapa Tun tak suka saya?,”.

Itu soalan bersahaja diajukan oleh Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika siaran Podcast ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir bagaimanapun kelihatan tenang ketika menjawab soalan itu dan memaklumkan dia tidak menyukai Khairy Jamaluddin kerana beliau bertanding dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pasal awak bertanding dengan anak saya, ibu mertua awak berkempen untuk awak. Itu yang saya diberitahu,” kata Dr. Mahathir.

Beliau bagaimanapun meminta agar perkara itu tidak dibincang lebih panjang apabila Khairy Jamaluddin turut menyangkal dakwaan mengaitkan ibu mertuanya itu.

“Saya cuma nak maklumkan saya tahu Tun ada perbezaan dengan Pak Lah dan antaranya berkaitan dengan jambatan dengan Singapura, MV Agusta dan rel landasan berkembar. Itu adalah tiga perkara utama, tetapi dalam mempertahankan Pak Lah, seperti yang Tun pun tahu dia kini menghidap dementia dan tidak ingat apa-apa.

“Saya rasa perbezaan itu perbezaan polisi. Betul, mungkin Tun ada tulis dari segi tidak tegas untuk kedaulatan dan sebagainya,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun kesemua perbezaan itu tidak melibatkan unsur jenayah.

“Saya cuma nak maklumkan yang tiada unsur jenayah, saya hilang kuasa pada tahun 2018, saya disiasat tetapi tiada apa-apa.

“Walaupun saya sudah lalui bermacam-macam dengan Tun tetapi saya berpendapat bahawa perbezaan itu, lebih kepada polisi, pendekatan dengan dasar-dasar kerajaan. Tetapi, tidak pernah sampai hari ini Tun M melibatkan penyelewengan,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai kisah-kisah sensasi yang berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata, tindakan Abdullah menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar beliau ketika itu menyebabkan Dr. Mahathir tidak mahu Abdullah dilantik sebagai menteri sekali lagi.

“Tetapi apabila dia bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi, tiba-tiba dia menang. Kemudian dia bertanding untuk Naib Presiden, dia menang juga. Saya terpaksa mengaku bahawa orang ini disukai ahli-ahli UMNO, saya tidak ada hak nak keluarkan dia.

“Sebab itu apabila kosong jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dia sudah jadi Naib Presiden UMNO, saya jadikan dia Timbalan Perdana Menteri walaupun beliau bukan orang yang menyokong saya dengan kesedaran bahawa apabila saya letak jawatan, dia akan menjadi Perdana Menteri,” jelasnya.

Dr. Mahathir berkata, Abdullah juga tidak menunaikan janji yang telah dibuat berhubung rel landasan berkembar dan isu jambatan menyebabkan beliau berfikiran Abdullah membenci dirinya.

“Saya kecewa dengan janji, sebab itu saya berpendapat bahawa Abdullah masih benci kepada saya, dia tidak tunai janji. Itu buat saya kecewa dengannya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI