CADANGAN untuk memaparkan nama Ahli Parlimen yang didapati ‘ponteng’ sidang Parlimen di laman web Dewan Rakyat mendapat reaksi berbeza.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berpendapat, cadangan tersebut merupakan satu tindakan yang bakal merosakkan imej dan reputasi mereka pada mata rakyat.
Rasional beliau, tidak mungkin 222 kerusi Ahli Parlimen dapat dipenuhi dalam satu-satu masa kerana mereka memiliki komitmen berbeza.
Namun pada masa sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui alasan mereka yang ponteng sidang Dewan Rakyat.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia itu turut berkata, perkara tersebut penting berikutan gaji serta elaun mereka dibayar oleh rakyat.
Cadangan tersebut diajukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul baru-baru ini sebagai usaha meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat.
Setakat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Johari untuk membuat keputusan berkenaan hal tersebut.
Persoalan di sini, apakah mekanisme terbaik untuk memastikan cadangan tersebut dapat direalisasikan selari dengan objektif asal dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam?
Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Rusdi Omar, langkah tersebut wajar dilakukan memandangkan ramai Ahli Parlimen memandang remeh soal sidang kehadiran ke Dewan Rakyat.
Bagaimanapun nasihatnya, paparan dalam laman web itu nanti perlu pembahagian jelas antara ‘tidak hadir bersebab’ dengan ‘tidak hadir tanpa sebab’.
Tambahnya, penggunaan istilah ponteng haruslah dielakkan kerana perkataan tersebut memiliki konotasi yang sangat negatif terhadap seseorang individu.
“Istilah ponteng merujuk kepada tidak hadir tanpa kenyataan. Penggunaan istilah pada laman web itu nanti perlulah bersesuaian dengan laras bahasa di Parlimen.
“Penerangan pada laman web itu nanti perlu terperinci dan jelas agar tidak timbul salah faham berkenaan status tidak hadir iaitu sama ada tidak hadir dengan kenyataan atau tidak hadir tanpa kenyataan.
“Dalam masa sama, cara ini juga boleh mengelakkan isu seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Beluran,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Dekan Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia, Ghazali Shafie, Ahli Parlimen disarankan untuk membuat cukup persediaan sebelum memasuki persidangan Dewan Rakyat.
Ujarnya, kebanyakan Ahli Parlimen ‘mengarut’ di dalam sidang Dewan Rakyat sehingga mereka membahas isu tanpa hujah-hujah yang berkualiti bagi membangkitkan masalah di kawasan mereka.
“Tanggungjawab Ahli Parlimen adalah membawa suara rakyat yang diwakili mereka di sidang Dewan Rakyat.
“Selain itu, mereka juga perlu hadir untuk memberikan pandangan berkenaan polisi-polisi yang dikemukakan demi kesejahteraan rakyat.
“Tetapi kebanyakan daripada mereka hanya merapu tentang perkara yang tidak relevan. Di sinilah timbulnya masalah tidak efisien,” katanya lagi.
Untuk rekod, selain daripada cadangan memaparkan nama Ahli Parlimen yang ponteng, Johari turut mencadangkan untuk memotong elaun mereka yang culas.














