fbpx

Konflik Palestin-Israel: 3 bayi pramatang maut selepas terputus bekalan oksigen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bayi pramatang berada di dalam inkubator di unit rawatan rapi neonatal di Hospital Al-Shifa. - AFP

BANDAR GAZA – Tiga bayi pramatang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Al-Shifa selepas ia kehabisan bekalan bahan api ketika askar Rejim Zionis mengepung kemudahan berkenaan, lapor saluran berita CNN.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza, Dr. Munir Al-Bursh berkata, dua daripada bayi tersebut meninggal dunia pada malam Jumaat selepas hospital tersebut terkena serangan askar Israel.

Ia menyebabkan generator yang menjana kuasa untuk wad neonatal gagal berfungsi.

Seorang lagi bayi kemudian meninggal dunia keesokan harinya.

Munir berkata, doktor-doktor kini terpaksa memberikan bantuan pernafasan buatan kepada 36 bayi lain.

Doktor juga melindungi bayi-bayi berkenaan menggunakan lapisan kain lembut dan selimut sebagai sebahagian daripada usaha menyelamatkan nyawa mereka.

Jurucakap kementerian, Dr. Ashraf al-Qidra memberitahu, dia terperangkap di dalam kompleks hospital terbesar di Gaza itu sambil menyatakan bahawa ia kini gagal berfungsi setelah menjadi sasaran serangan askar Israel.

“Unit rawatan rapi, jabatan pediatrik dan peranti oksigen telah berhenti berfungsi,” kata Ashraf.

Kementerian Kesihatan di Gaza sebelum itu membetulkan kenyataan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Mai Al Kaila yang menyatakan seramai 39 bayi pramatang meninggal dunia di hospital tersebut akibat terputus bekalan oksigen.

Sebaliknya, bayi-bayi tersebut berisiko maut akibat insiden itu dan sehingga kini, tiga daripadanya meninggal dunia, lapor laman berita Gulf News. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI