fbpx

K2

Realisasikan konsep mewah dalam rumah teres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elemen-elemen dengan warna kuning keemasan mengangkat tema mewah

MEREALISASIKAN rumah impian merupakan salah satu perkara yang mahu dicapai setiap pencinta hiasan dalaman.

Bagi mereka yang kreatif dan inovatif, mereka mampu mengubah rumah yang pada asalnya sederhana kepada rumah mewah.

Begitulah cerita pasangan, Nieta Mat Saad, 40, dan Mohd. Sukimi Roslee, 38, yang mengubah suai rumah teres corner lot biasa kepada rumah ala semi D.

Menurut Nieta, rumah teres satu tingkat di Taiping, Perak yang dimilikinya pada tahun 2008 itu diubah suai secara sedikit demi sedikit pada bahagian dalam dan luar rumah.

“Kami sudah tinggal di sini selama 15 tahun. Hanya pada empat tahun lalu, kami mula serius untuk mengubah rumah menjadi rumah impian.

“Kami suka konsep rumah mewah dan bergaya. Jadi, kami buat keputusan untuk ubah rumah teres ini ke arah cita rasa ‘glam’,” katanya.

Ruang duduk yang elegan di dalam kediaman dengan elemen kuning keemasan.

Sekali melangkah ke dalam ruang rumah usahawan emas tersebut, tiada siapa menyangka bahawa ia sebelum ini hanya rumah teres biasa.

Pada bahagian dalam rumah, tona hitam, kelabu, kuning keemasan, krim dan putih diterapkan pada pemilihan perabot, kabinet, langsir dan warna dinding.

Kebanyakan ruang dinding rumah dilengkapi dengan wainscoting wall kecuali pada ruang televisyen yang menggunakan wood wall panel dan marble tile panel.

Pemasangan kabinet berwarna putih dengan pemegang berwarna emas di bahagian bawah menambahkan elemen fungsi pada ruang tersebut.

Penggunaan chandelier pada ruang rumah memberikan impak gah dan kemegahan pada sesuatu ruang,

Tambah Nieta, penggunaan wood wall panel, marble tile panel dan kabinet pada bahagian dinding ruang televisyen adalah kerana cat dindingnya senang lekang.

“Dinding pada ruang televisyen ini memiliki masalah. Disebabkan belah belakang ruang itu adalah bilik air, jadi dinding tak lekat cat.

“Saya dah cuba lekat wallpaper (kertas dinding), hasilnya sama. Jadi saya letak marble tile sebagai solusi kepada masalah itu.

“Kabinet juga digunakan bagi menyorok wayar-wayar panjang yang menjalar pada dinding,” jelasnya.

Mengulas berkenaan inspirasi, ibu kepada tiga anak tersebut menjadikan ruang internet sebagai sumber rujukan untuk mendapatkan idea dan tip.

Katanya, penggunaan chandelier mampu memberikan impak kemegahan dan ‘keagungan’ pada satu-satu ruang.

Pencahayaan yang mencetuskan aura mewah.

Justeru, Nieta memilih untuk meletakkan chandelier sebagai lampu tengah kebanyakan ruang rumahnya.

“Pemilihan lampu penting dalam menentukan mood yang ingin disampaikan. Justeru, saya memilih chandelier kerana ia menampakkan ruang itu mewah.

“Lampu chandelier saya gunakan sebagai hiasan sahaja. Saya letak lampu-lampu ini di bahagian tengah ruang,” tuturnya.

Sementara itu, pasangan dua merpati sejoli tersebut turut mengubah suai kawasan luar rumah dengan menambah ruang termasuk kolam ikan berserta air terjun kecil.

Tambah Nieta lagi, keseluruhan kos ubah suai rumahnya menelan belanja ratusan ribu ringgit dan kebanyakan barangan dibeli melalui laman Shopee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI