MANCHESTER – Manchester United dijangka kembali membuktikan kekuatan semangat mereka apabila kembali bersaing dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Luton Town di Old Trafford malam ini.
Skuad kendalian Erik Ten Hag itu berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka ketika saingan Liga Juara-Juara menentang FC Copenhagen kelmarin sebelum tewas 3-4 ekoran layangan kad merah terhadap Marcus Rashford.
Pengendali dari Belanda itu percaya masih ada beberapa perkara positif dapat diambil daripada kekalahan mereka tempoh hari dan berharap para pemainnya akan bangkit memberikan respons terbaik menentang Luton.
Penggempur United, Rasmus Hojlund percaya bahawa Ten Hag masih lagi mendapatkan sokongan penuh daripada semua pemain biarpun mereka berdepan isu prestasi dan di sebalik spekulasi pemecatannya.
“Beliau masih lagi seorang pengurus yang baik. Beliau sangat mengambil peduli mengenai semua perkara dan banyak membantu saya terutama dari aspek keyakinan untuk memberikan aksi terbaik.
“Saya fikir semua pemain di bilik persalinan masih memberikannya sokongan padu. Saya harap kami hanya menantikan masa sesuai untuk benar-benar berjaya,” katanya.
Kemenangan berdepan Luton sangat penting buat United dan Old Trafford ketika ini bukan lagi kubu kuat mereka apabila lebih banyak tewas berbanding meraih kemenangan di laman keramat mereka itu.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, United tidak pernah merekodkan sebarang kekalahan bertemu Luton apabila meraih empat kemenangan dan satu seri dalam lima aksi sebelum ini. – AGENSI














