JIKA anda seorang pengguna aplikasi TikTok, pasti mengenali figura wanita berketurunan India dengan nama Satthiya Kandi.
Tampil bersahaja dengan video-video berunsur komedi dan lawak jenaka menggunakan bahasa Melayu, kandungan dimuat naik pasti membuatkan siapa sahaja tidak ‘kering gusi’.
Kehadirannya dalam setiap video yang dimuat naik sering dinantikan penggemar dan pengikutnya kini melebihi angka 453,000 di TikTok.
Video-videonya yang banyak bersifat parodi dengan melakukan lip sync dialog sering meraih tontonan tinggi.
Bersempena dengan kedatangan Deepavali Ahad ini, Aura berpeluang menemu bual figura berbakat kelahiran Kuantan, Pahang ini yang mula mencipta populariti sejak beberapa tahun lalu.
Mengimbas sejak bila dirinya mula melibatkan diri sebagai content creator (pencipta kandungan) sekali gus bergelar pempengaruh, Satthiya, 35, memberitahu, jika hendak diikutkan sejak tahun 2015 lagi.
“Bermula pada tahun 2015, saya sudah aktif berkongsi kandungan nyanyian dan lakonan komedi di Instagram, Facebook dan TikTok.
“Semua orang ada masalah masing-masing dan menjadikan media sosial sebagai platform untuk mereka tenangkan fikiran.
“Jadi, saya pun mula berkongsi video-video dan kandungan yang dicipta sendiri dengan harapan dapat menceriakan dan menggembirakan penonton,” katanya ketika dihubungi.
Akuinya, dia tidak pernah menyangka percubaan sekadar suka-suka menyanyi serta lakonan komedi diterima audiens hingga beberapa videonya pernah tular dan menjadi FYP (For You Page).

Sejak itu katanya, dia mula serius dalam menghasilkan lebih banyak kandungan menarik dan positif berbentuk hiburan untuk dikongsikan kepada pengguna media sosial sebagai satu terapi.
Begitupun, bukanlah kandungan komedi yang dipertaruhkan semata-mata. Hal itu kerana dia turut lantang menyentuh isu mengenai body shaming atau ejekan tubuh.
Jelasnya, itu antara cabaran yang sering diterimanya sejak menjadi pembuat kandungan kerana ada segelintir netizen yang sering menjadikan fizikal, rupa dan warna kulitnya sebagai ‘modal’ untuk menjatuhkan semangatnya.
Menurut anak tunggal itu lagi, kerana itu jugalah dia acapkali mengangkat isu body positivity termasuk menggalakkan pengikutnya untuk terus yakin dengan diri masing-masing.
“Macam mana saya tampil yakin? Pertama sekali, kita mestilah menyayangi diri sendiri.
“Tak kiralah badan kita macam mana, warna kulit macam mana. Dikecam gemuk, badan besarlah, macam kerbaulah, jangan sesekali kita malu atau hilang keyakinan.
“Itulah apa yang terjadi kepada diri saya sampai ke hari ini. Kadangkala video yang kita buat sudah cukup okay dan positif, tetapi mereka (segelintir netizen) jatuhkan kita dengan cara begini (body shaming).
“Jadi, kalau saya sendiri rasa malu dan tidak yakin apatah lagi tahan dengan kecaman netizen, saya tidak rasa akan berada di sini sekarang,” katanya.
Kongsinya, banyak lagi cabaran yang terpaksa didepaninya lebih-lebih lagi impiannya untuk bergelar anak seni sebagai pelakon kini berjaya dikecapi.
Jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak itu, dia bersyukur bakatnya di media sosial akhirnya dapat dihidu.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang lakonan, Satthita menyifatkan semuanya bermula dari bakat yang dipaparkan di TikTok.
“Saya lihat TikTok ini sebagai satu peluang untuk orang mempersembahkan bakat.
“Jadi, platform media sosial ini merupakan tiket untuk saya tunjuk dan serlahkan bakat. Saya rasa, dengan bakat dan niat yang betullah, saya dapat masuk industri,” katanya.
Kongsinya, Januari lalu dia dipilih sebagai salah seorang pelakon yang memegang watak Zaindaya menerusi drama bersiri Legenda Puteri Qaseh bersama barisan pelakon lain seperti Datin Lisa Surihani dan Norman Hakim.
Tambahnya, apabila sudah berjinak-jinak dalam dunia glamor, satu lagi cabaran terpaksa ditelannya adalah dari segi masa yang begitu mencemburui.
“Jujur sekarang ini saya sangat susah nak bagi masa untuk mainkan semua peranan terutama sebagai isteri.
“Paling besar saya rasa susah nak masak dan tak ada masa sangat untuk suami dan keluarga.
“Saya menetap di Pulau Pinang dan suami pun kerja di negeri sama, tetapi kerja-kerja penggambaran dan apa sahaja jemputan banyak di Lembah Klang, jadi masa saya banyak dihabiskan atas jalan.
“Syukur suami sangat memahami dan dia akan sentiasa ada untuk saya. Dia akan susun waktu kerjanya dan selagi boleh teman saya ke tempat penggambaran atau apa jua kerja dan jemputan di luar Pulau Pinang,” katanya.
Bercakap mengenai persiapan Deepavali tahun ini, Satthiya berkata, dia akan menyambut perayaan itu secara sederhana dan berdua bersama suaminya di Pulau Pinang selain tidak berhasrat untuk bercuti panjang.
Katanya, setiap kali perayaan itu menjelma, dia pasti akan membuat kuih nei urundai atau bebola sapi.
“Itu kuih raya yang wajib saya buat setiap tahun kerana merupakan kegemaran saya dan suami. Macam muruku atau lain-lain memang saya tak pandai dan beli saja.
“Lagipun bahan yang diperlukan juga mudah didapati iaitu tepung kacang hijau, minyak sapi dan gajus goreng yang telah dikisar,” katanya.
Pun begitu, di sebalik keceriaan setiap kali tiba Deepavali, Satthiya pasti akan merindui mendiang bapanya yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Masa dia (bapa) meninggal, saya belum sempat ceburkan diri dalam bidang seni. Jadi dia tak sempat tengok apa yang saya lakukan kini.
“Saya bayangkan kalau mendiang bapa baca artikel ini, mesti dia gembira sangat. Tapi apakan daya kita sebagai manusia untuk menolak takdir,” tuturnya menoktahkan kata.














