fbpx

Bicara 10 pertuduhan bekas MB Perlis Azlan Man mula Julai tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (kameja merah jambu) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan sembilan hari bermula Julai tahun depan bagi perbicaraan 10 pertuduhan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 18 dan 19 Julai yang kemudian bersambung pada 1, 2, 19, 20, 21, 22 dan 23 Ogos yang mana seramai 20 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan itu ketika prosiding sebutan semula kes bagi keputusan representasi untuk mengkaji semula semua pertuduhan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berkata, memaklumkan baru sahaja menerima representasi itu pagi tadi daripada pihak pembelaan menerusi e-mel semalam.

“Susulan itu, kami memerlukan masa untuk meneliti representasi terbabit sebelum ditaklimatkan kepada Peguam Negara (AG),” katanya.

Dalam pada itu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan mengesahkan perkara tersebut.

“Pihak kami mengesahkan dokumen (representasi) berkenaan baru sahaja dihantar. Ini kerana sebelum ini pihak kami memerlukan masa untuk meneliti bukti dan fakta bagi melengkapkan representasi itu,” katanya.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan hari ini bagi keputusan representasi berkenaan.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes untuk keputusan representasi itu pada 12 Januari tahun depan.

Azlan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sementara lima pertuduhan AMLA di ibu negara.

Pada 10 April lalu, tertuduh didakwa di Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.

Azlan selaku Menteri Besar Perlis ketika itu didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Menurut pertuduhan, Azlan, 65, didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerjaaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 dan 14 Disember 2017.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kemudian pada 12 April lalu, Azlan didakwa lagi atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, sembilan tahun lalu.

Azlan didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.

Pertuduhan pertama, Azlan didakwa menerima wang RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. melalui cek Maybank yang dibayar ke dalam akaunnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 19 Februari 2014.

Pertuduhan kedua, Azlan didakwa menerima RM196,651 daripada syarikat sama melalui cek pada 9 Februari 2015 juga di tempat serupa.

Pertuduhan ketiga, Azlan didakwa menerima RM224,404.40 daripada syarikat itu yang dibayar ke dalam akaun CIMB miliknya di bank berkenaan cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan pada 2 Februari 2016.

Pertuduhan keempat, Azlan didakwa menerima RM222,811.95 daripada Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank cawangan Putrajaya pada 3 April 2017.

Pertuduhan kelima, Azlan didakwa menerima wang tunai RM207,468 daripada Abdul Rahim Halim mewakili Aidil Travel & Tours yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI