fbpx

Syed Saddiq didapati bersalah terhadap empat pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini sebentar tadi atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan itu.

“Selepas membuat pertimbangan secara maksimum, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan dan pihak pendakwaan berjaya melepasi kes melampui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah,” kata hakim.

Dengan keputusan hari ini, sekaligus menamatkan segala teka-teki terhadap nasib Syed Saddiq sejak tujuh bulan lalu terhadap pertuduhan jenayah yang didakwa ke atasnya.

Dalam keputusan yang dibuat hari ini mahkamah bergantung kepada keterangan empat saksi pembelaan termasuk Syed Saddiq, 30, serta penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Selain Syed Saddiq, saksi-saksi lain terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Pihak pembelaan menutup kes pada 14 Mac lalu manakala pendakwaan pula menutup kes pada 27 September 2022 selepas 29 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Jun 2022.

Pada 10 April dan 11 April lalu, Hakim Azhar mendengar penghujahan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd. ‘Afif Ali serta peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Antara hujah yang dibangkitkan oleh Wan Shaharuddin ialah Syed Saddiq tidak boleh menggunakan wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk menggantikan wangnya sendiri yang kononnya didahulukan untuk menjayakan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Akaun ABBE milik Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu digunakan untuk dua program meraih dana melalui majlis makan malam di Ampang, Selangor dan Muar yang mana kesemua bayaran untuk majlis itu dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Ini kerana katanya, wang berjumlah RM120,000 tersebut tidak digunakan bagi tujuan kempen politik beliau atau mana-mana ahli Armada, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak pembelaan bahawa tiada bukti menunjukkan Syed Saddiq bersubahat dengan Rafiq Hakim yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.

Gobind berhujah, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI