fbpx

Rompakan emas umpama aksi filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI pekan Kuala Kangsar inilah tiga lelaki bersenjata melarikan barang kemas bernilai RM1.4 juta kelmarin.

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian rompakan barang kemas bernilai RM1.4 juta di daerah ini pagi kelmarin menggambarkan kejadian mencemaskan tersebut seperti aksi dalam filem.

Saksi itu yang enggan namanya dikenali berkata, ketika kejadian pada pukul 11 pagi itu, dia yang sedang bertugas tidak jauh dari lokasi ber­kenaan mengakui terkejut melihat suspek yang memiliki senjata berbahaya.

Menurut lelaki itu, biarpun sudah lebih 24 jam berlaku, namun dia masih trauma dengan kejadian rompakan tersebut.

“Saya percaya rata-rata peniaga kedai lot di sini masih takut, bukan saya seorang sahaja. Sudah lima tahun saya bekerja di sini belum pernah berlaku kes rompakan.

“Biasanya pada waktu pagi suasana di pekan ini tenang sebab peniaga baru hendak memulakan operasi. Pada hari kejadian, ada saksi lain mendakwa penjenayah turut memecahkan tayar kereta mangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki bertopeng dan bersenjata menyerbu sebuah kereta yang dinaiki dua jurujual syarikat emas.

Suspek memecahkan cermin kenderaan itu menggunakan tukul dan parang. Kejadian itu berlaku di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah kedai emas di pekan ­Kuala Kangsar.

Mereka melarikan sejumlah barang kemas bernilai RM1.4 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya memberkas tiga lelaki kira-kira tiga jam selepas kejadian tersebut di Shah Alam.

Lelaki tempatan berusia 20 hingga 50 tahun itu ditangkap pada pukul 2.10 petang. Polis bagaimanapun tidak menemukan barang kemas yang dilarikan suspek.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dirompak itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI