fbpx

Tiada keperluan gubal undang-undang baharu tangani isu 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan berpandangan bahawa tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani isu berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, tindakan meningkatkan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 sudah mencukupi bagi mengatasi isu berkenaan.

“Kalau keadaan mendesak dan kerajaan
memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut.

“Namun buat masa ini, kementerian berpandangan bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan, sudah mencukupi.

“Ini kerana dalam kedua – dua akta ini terdapat seksyen yang secara khusus menyentuh mengenai tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap isu 3R ini bagi menjamin keharmonian kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan satu Rang Undang-undang (RUU) baharu berkaitan keharmonian kaum selain akta hasutan dan akta komunikasi sedia ada.

Dalam masa sama katanya, pada tahun 2019, kerajaan terdahulu pernah menolak penubuhan tiga cadangan pembentukan suruhanjaya berkaitan.

“Ia termasuk RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, berikutan cadangan peruntukan tersebut telah terkandung di dalam Kanun Keseksaan.

“Selain itu, cadangan RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional turut ditolak kerana pengisiannya termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Aaron berkata, satu sesi libat urus dan dialog telah pun diadakan pada Julai lalu bertujuan untuk mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada dan mengenal pasti cabaran yang dihadapi agensi penguatkuasaan dari segi menjalankan siasatan serta pendakwaan.

Selain itu katanya, dialog yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu, turut membangkitkan cadangan perundangan alternatif yang bersifat sivil, serta modal-modal perundangan lain yang dirasakan sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI