fbpx

Sektor tenaga boleh diperbaharui telah menggaji 25 peratus tenaga kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (tengah) menerima Coffe Table Book daripada Pengerusi Gas Malaysia, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) pada majlis pelancaran Gas Malaysia Business Sustainability Plan di Shah Alam. -Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) menyumbang kira-kira 28 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan telah menggaji 25 peratus tenaga kerja dalam negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia turut berperanan sebagai sumber pendapatan asas negara dengan produk berkaitan petroleum menyumbang 31 peratus daripada fiskal hasil manakala eksport tenaga mewakili 13 peratus daripada jumlah nilai eksport.

Ujarnya, kerajaan benar-benar komited untuk meneroka pelaksanaan kaedah yang sesuai bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Peralihan ke arah usaha tersebut telah membuka pelbagai ekonomi prospek dan memupuk kepelbagaian ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pertumbuhan ekonomi dan penduduk juga dijangka akan bertambah selari dengan kepesatan pembandaran sekali gus mendorong peningkatan dalam permintaan tenaga yang diunjurkan meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun sehingga 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Gas Malaysia Business Sustainability Plan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai gas asli, beliau berkata, tenaga tersebut kekal sebagai bahan api peralihan yang penting kerana mengeluarkan antara 45 peratus dan 55 peratus pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah daripada arang batu apabila digunakan untuk menjana elektrik.

Katanya, gas asli juga lebih bersih dan kurang intensif karbon daripada arang batu atau minyak menjadikannya alat yang berharga untuk mengurangkan jejak karbon dan perubahan iklim.

“Malaysia telah dikurniakan rizab gas asli yang banyak, menjadikan kita sebagai pemain penting dalam landskap tenaga global. Bagaimanapun, kita hari ini berada pada titik kritikal kerana cabaran melibatkan perubahan iklim dan keperluan tenaga lestari sumber semakin meningkat.

“Justeru, di Malaysia, kerajaan berusaha untuk menyahkarbon dan menjadikan gas asli sebagai ‘jambatan’ peralihan untuk ditukarkan kepada tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon.

“Kita nak tiada seorang pun rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam laluan peralihan ini supaya gas asli boleh terus mengambil alih peranannya untuk memastikan keselamatan tenaga dan mampu milik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI