fbpx
Golongan ‘pekerja emas’ yang bekerja di negara ini masih rendah iaitu sekitar 45 peratus. – Gambar hiasan

K2

Manfaat luar biasa ‘pekerja emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTAMBAHAN golongan berusia menjadi antara fenomena global sejak beberapa dekad lalu.

Unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan Malaysia bakal menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila golongan berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Laporan Bank Dunia pula menjelaskan bahawa proses penuaan di Malaysia akan berlaku pada kadar sama seperti Jepun. Namun, kadar produktiviti pekerja berusia 55 sehingga 64 tahun atau ‘pekerja emas’ di negara ini masih rendah.

Hanya 45 peratus golongan itu masih bekerja sedangkan negara luar seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand lebih 65 peratus.

Peningkatan usia dalam kalangan populasi dan tenaga kerja dikatakan mempunyai implikasi yang signifikan terhadap pekerja, pengurusan sumber manusia, organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.

Perbincangan ini sering digabungkan dengan implikasi ekonomi negara sekiranya tenaga kerja berkepakaran berkurang akibat bersara.

Pada masa sama, ia akan meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan untuk pengurusan aspek kesihatan umum dan pengurangan pendapatan kerajaan melalui cukai.

Dengan perkembangan berterusan dalam teknologi, perubahan struktur sosial serta nilai masyarakat, sifat pekerjaan dan persekitaran kerja juga perlu berubah.

Mengekalkan ‘pekerja emas’ dalam pekerjaan yang produktif diramalkan akan menjadi masalah utama kerana perubahan pesat.

Misalnya, digitalisasi berteknologi tinggi dan aspek kecerdasan sehingga mampu mengubah fungsi sesuatu pekerjaan.

Masalah dihadapi ‘pekerja emas’ adalah berkaitan aspek pengurangan prestasi kognitif (pemikiran) seperti proses penaakulan dan penyelesaian masalah, penurunan keupayaan fungsi dan fizikal serta stereotaip atau stigma di tempat kerja berdasarkan usia.

Pekerja berusia terikat dengan masalah kesihatan. – Gambar hiasan

Di samping itu, terdapat banyak pandangan sosial, ekonomi, keselamatan dan perubatan mengenai pekerja yang lebih berusia.

Ini didasarkan kepada persepsi bahawa pekerja lebih berusia adalah lemah, tidak boleh dipercayai, tidak dapat bekerja dengan berkesan dan selamat, meningkatkan kos organisasi, mudah terlibat dengan kemalangan serta penyakit.

Golongan ini juga sering kali terdedah dengan risiko bahaya di tempat kerja serta pelbagai isu berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ketidakprihatinan pihak berwajib mahupun organisasi mengenai isu ini akan menjejaskan ‘pekerja emas’ dan pihak majikan.

Walaupun begitu, masih banyak organisasi yang menawarkan pekerjaan kepada tenaga ‘pekerja emas’ kerana memerlukan sentuhan kepakaran dan perkongsian pengalaman.

Hal ini dapat dilihat dengan adanya pelan ekonomi gig yang memberi ruang kepada individu untuk bekerja selepas tempoh pekerjaan mereka tamat.

Oleh itu, tindakan wajar perlu diambil segera untuk memastikan pasaran tenaga buruh ‘pekerja emas’ masih relevan walaupun dunia sedang pesat memacu ke hadapan.

Melihat dengan lebih luas, pekerja yang semakin berusia di kebanyakan negara maju dan negara membangun mempunyai implikasi yang signifikan terhadap pekerja, organisasi serta masyarakat.

Hal ini kerana, ‘pekerja emas’ dikatakan individu matang dan memiliki kemahiran serta pengalaman yang boleh memberi impak kepada organisasi.

Majikan mesti bergantung pada pekerja berusia untuk terus berdaya saing di pasaran global. Pada masa sama, majikan perlu menangani keperluan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja mereka.

Beberapa tinjauan mendapati, kebanyakan penyelidik secara konsisten menekankan bahawa perubahan struktur usia populasi dan tenaga kerja dapat menghasilkan cabaran ekonomi serta masyarakat.

Malah, ia dapat membuka banyak peluang baharu untuk peningkatan produktiviti dan kesejahteraan individu.

Dianggarkan bahawa pekerja menghabiskan sekurang-kurangnya satu per tiga daripada kehidupan di tempat kerja. Jangka masa ini selari dengan peningkatan usia pekerja dalam melaksanakan tugasan mereka.

Peningkatan usia pekerja yang semakin membimbangkan boleh memberi kesan ke atas aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Perkara ini boleh dijadikan penyebab untuk pihak organisasi tidak mengambil ‘pekerja emas’.

Jadi, elemen-elemen keselamatan dan kesihatan wajar diberikan tumpuan untuk menjamin kualiti serta prestasi ‘pekerja emas’ di tempat kerja.

Kekurangan data empirikal berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan ‘pekerja emas’ menyukarkan tindakan intervensi serta penyediaan keperluan latihan bersesuaian.

Perancangan lebih teliti juga gagal dilakukan disebabkan kekurangan data dan model bersesuaian untuk ‘pekerja emas’ berkaitan elemen keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Untuk itu, bagi menampung tenaga kerja yang semakin berusia dalam persekitaran pekerjaan ketika ini, penting untuk mengkaji keupayaan dan batasan pekerja serta tuntutan pekerjaan dan tempat kerja.

Matlamat menyeluruh adalah untuk memaksimumkan kesesuaian persekitaran kerja dengan individu yang akan berkhidmat atau bekerja di tempat kerja berkenaan.

Dalam hal ini, persekitaran kerja harus menyokong kesihatan dan keselamatan serta produktiviti untuk semua kumpulan umur.

Ia harus direka bentuk untuk menyokong ‘pekerja emas’ yang membawa potensi manfaat luar biasa ke tempat kerja.

Oleh itu, persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat adalah perlu, di mana risiko bahaya perlu diperbaiki dengan kerjasama pihak organisasi.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN