fbpx

RUU sekat penyebaran agama lain kepada orang Islam sedang diusahakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dijangka akan dibentangkan tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata usaha ke arah penggubalan RUU itu sedang giat dijalankan dan beliau menegaskan pihaknya langsung tidak mempunyai niat untuk memberhentikannya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kalau kerajaan sebelum ini berusaha (menggubal akta ini), kita pun berusaha, kita akan teruskan akta kawalan agama bukan Islam kepada orang Islam, bagi menjamin akidah orang Islam dengan adanya kawalan berkenaan.

“Ketika ini prosesnya masih di peringkat kajian Jabatan Peguam Negara. Apabila ia sudah diluluskan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan bawa RUU ini untuk mendapat persetujuan kabinet,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata pihaknya tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana individu atau kumpulan dalam memartabatkan lagi syiar Islam di negara ini.

Jelasnya, semua pihak dalam kerajaan Madani amat menghormati dan mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang tertakluk dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam meminta kerajaan menyegerakan pembentangan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang pernah dicadangkan PAS sebelum ini.

Katanya, undang-undang syariah peringkat Persekutuan diperlukan segera supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kuasa menyiasat aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI