fbpx

Tiga tenggiling Armadillo diseludup dalam bagasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pun Sian (tiga kanan) menunjukkan tenggiling jenis Armadillo yang dirampas di KLIA2 baru-baru ini. - Foto IHSAN JKDM

PUTRAJAYA – Pasukan Taskforce Pencegahan Penyeludupan Hidupan Liar berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan tiga ekor tenggiling jenis Armadillo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 28 Oktober lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wong Pun Sian berkata, kira-kira pukul 9 malam Polis Bantuan KLIA2 telah menahan seorang lelaki warganegara India bersama satu bagasi yang disyaki mengandungi tiga ekor hidupan liar.

Katanya, hasil maklumat yang diterima daripada anggota berkenaan telah mengesan imej yang mencurigakan disyaki hidupan liar dan kemudiannya diperiksa oleh Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Setelah bagasi dibuka, terdapat tiga bekas kecil mengandungi hidupan liar iaitu tenggiling dari kumpulan spesies Armadillo.

“Pemilik bagasi kemudiannya di tahan bersama-sama dengan hidupan liar tersebut dan dibawa ke pejabat Jabatan Perhilitan di KLIA2 untuk proses dokumentasi dan pengecaman spesies hidupan liar tersebut.

“Sehubungan itu, kes telah diserahkan kepada JKDM seterusnya suspek telah direman bagi membantu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Pun Sian, modus operandi sindiket adalah menawarkan kepada suspek melalui ejen di India yang menguruskan bagasi untuk membawa bagasi ke Colombo.

“Semua urusan tiket penerbangan serta penginapan telah diuruskan oleh ejen tersebut.

“Urusan serahan bagasi telah dilakukan di kawasan Gateway KLIA 2 sebelum suspek membawa bagasi tersebut bagi menaiki penerbangan ke destinasi yang dituju,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengeksport barang-barang larangan tanpa kelulusan.

Sehubungan itu, Pun Sian menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Orang awam diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI