fbpx

Lumba bot labu gergasi rai Halloween

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai acara regatta labu di Kasterlee, Belgium sempena Halloween baru-baru ini.

KASTERLEE yang merupakan sebuah bandar kecil di Belgium menjadi tumpuan ramai setiap tahun bagi menyaksikan salah satu perayaan paling pelik di Eropah iaitu regata labu.

Setiap tahun, beribu-ribu orang akan berkumpul di bandar itu semata-mata untuk memeriahkan perayaan tersebut.

Regata labu menjadi perlumbaan tahunan yang menyaksikan peserta melompat masuk ke dalam labu gergasi berlubang yang dijadikan bot, sebelum mendayungnya ke garisan penamat di sungai Kasterlee.

Pihak penganjur berkata, regata labu dengan sentuhan Halloween itu berjaya menarik kedatangan pelawat antara 4,000 hingga 5,000 orang dari seluruh dunia setiap tahun.

Presiden Persatuan Labu, Paul Boonen berkata, labu yang digunakan itu ditanam di bandar Kasterlee itu 50 kilometer dari Antwerp oleh ‘Pompoengenootschap’.

Menurutnya, mereka menanam labu terbesar di dunia.

“Penduduk asal Kasterlee dikenali sebagai pemakan labu. Ini bermakna labu-labu yang dihasilkan di sini dieksport ke seluruh dunia.

“Itulah sebabnya acara sebegini diadakan di sini,” katanya.

Acara itu lahir daripada kerjasama antara Kastelse Kayakklub dan ‘Pompoengenootschap’ pada tahun 2008 dengan sokongan pihak Majlis Kasterlee.

Bot dihasilkan dengan menggunakan labu gergasi yang ditanam di Kasterlee.

Penganjurannya telah berjaya menarik beribu-ribu pesaing, penyokong dan penonton yang ingin yang datang dari negara berbeza.

“Kami mempunyai pengikut dari seluruh dunia.

“Kadang-kadang ada yang datang dari Itali semata-mata untuk menyertai regata labu ini,” jelas Boonen.

Dalam pada itu, penganjur dan pemilik ladang labu, Gert Peeters menjelaskan, mereka bermula dengan labu kecil terlebih dahulu.

“Kemudian, kami mendapat benih labu yang lebih besar dan kami kacuknya untuk menjadikan labu lebih besar dari masa ke masa.

“Sekitar tahun 2000, labu paling berat yang berjaya dituai adalah sekitar 400 kilogram (kg), kini kami telah mencapai berat maksimum sekitar 1 tan.

“Kami menyediakan bot labu dengan menebuk pada bahagian tengah sebelum dilemparkan ke dalam air untuk perlumbaan,” katanya.

Tambahnya, pada acara tahun ini, ada labu seberat sehingga 1 tan digunakan.

Untuk memenangi perlumbaan regata tersebut, setiap pasukan perlu bersaing dengan duduk di dalam labu dan mendayungnya mengelilingi pondok yang berada di tengah-tengah sungai.

Untuk mengawal labu itu setiap peserta harus memiliki sedikit kemahiran untuk mendayungnya.

Ini kerana, jika seseorang itu tidak mahir untuk mengawalnya ketika mendayung labu, ia tidak bergerak ke hadapan tetapi berputar.

Sebanyak 90 pasukan yang terdiri daripada empat orang peserta menyertai acara itu.

Peserta akan melangkah masuk ke dalam labu yang berlubang, kemudian mendayungnya.

Salah seorang peserta acara itu, Britt Tengrootenhuyzen berkata, dia kembali menyertai acara itu setelah memenanginya dalam kategori wanita pada tahun lalu.

Tahun ini, dia mengambil keputusan untuk berpakaian sebagai seorang lelaki bagi memastikan dirinya mendapat perhatian media.

“Tahun lalu kami menang tetapi kami tidak mendapat perhatian daripada media kerana semua lebih tertumpu kepada lelaki.

“Itulah sebabnya kami berpakaian seperti lelaki pada kali ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI