KANGAR – Masalah kekurangan guru melibatkan beberapa subjek teras yang berlarutan sejak sekian lama membebankan guru sedia ada di sesebuah sekolah.
Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Azizan berkata, masalah itu berlaku disebabkan pertukaran dan guru bersara yang tidak diganti segera.
“Apabila kekosongan jawatan itu tidak diisi dengan segera, ia akan mengganggu masa dan persediaan mengajar guru-guru sedia ada di sekolah berkenaan. Guru-guru ini yang terpaksa mengisi kekosongan tersebut.
“Keadaan menjadi bertambah rumit apabila kekosongan itu melibatkan subjek teras seperti Matematik dan bahasa Inggeris yang mempunyai masa mengajar yang panjang iaitu lebih 30 waktu seminggu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Satu waktu bersamaan 30 minit masa mengajar.
Jelas Azizan, guru ganti bukan sahaja terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, malah terpaksa melakukan kerja pentadbiran dan kokurikulum.
Beliau memberitahu, terdapat lebih lima kekosongan guru di sekolahnya dan percaya keadaan sama turut berlaku di sekolah-sekolah lain di Perlis.
“Lebih penting adalah pencapaian kurikulum pelajar yang dikhuatiri terjejas akibat masalah ini misalnya sekolah yang tiada guru Matematik akan diganti guru sedia ada yang bukan opsyen dalam bidang itu.
“Apabila guru bukan dalam bidang yang ganti, sudah tentu hasilnya tidak sama,” katanya.
Beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyemak semula bilangan penempatan guru di sekolah mengikut keperluan mata pelajaran, bukannya nisbah murid.
“Masalah itu akan menjadi kritikal di peringkat sekolah menengah berbanding sekolah rendah kerana terdapat banyak mata pelajaran dengan pelbagai aliran,” katanya.
Seorang lagi guru, Mardiyah, mengakui masalah kekurangan guru turut berlaku di sekolahnya.
“Ada enam guru subjek Sejarah di sebuah sekolah, namun dua daripada mereka bukan opsyen Sejarah,” katanya.
Oleh itu beliau menyarankan KPM membuat penelitian tentang bilangan sebenar guru yang perlu ditempatkan di sesebuah sekolah mengikut jumlah murid.
Sementara itu, seorang lagi guru sekolah rendah di Selangor dikenali sebagai Ruhaiza, 36, pula berkata, dia terpaksa mengajar banyak kelas disebabkan masalah kekurangan guru subjek bahasa Inggeris.
“Pengambilan guru ini perlu dilakukan secara besar-besaran dengan segera bagi memenuhi permintaan murid yang bertambah pada setiap tahun,” ujarnya.
Ujarnya, kementerian juga perlu memastikan guru ganti itu adalah opsyen subjek tersebut bagi menjamin kualiti pengajaran di dalam kelas.














