fbpx

Majikan digalakkan melabur program latihan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

PETALING JAYA – Majikan digalakkan melabur dalam program latihan komprehensif bagi memperkasa pekerja untuk membuat pilihan lebih selamat dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi diri dan rakan sekerja sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini semasa bekerja.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam kenyataannya, majikan juga perlu memahami bahawa latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sangat penting, manakala pekerja mereka pula perlu menyertai program latihan.

Katanya, ini bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk mengenal pasti dan menangani bahaya yang berpotensi di tempat kerja.

“NIOSH turut menggalakkan majikan dan pekerja mengamalkan kaedah Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) yang boleh membantu mereka mengenal pasti hazard, menilai risiko berkaitan hazard tersebut dan melaksanakan langkah kawalan yang berkesan.

“Dengan mengamalkan HIRARC, majikan juga boleh mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja secara proaktif,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ia dikeluarkan susulan kejadian tiga pekerja Bangladesh yang maut akibat tertimbus tanah runtuh semasa menjalankan kerja pembinaan lebuh raya di Machang, Kelantan semalam.

Dalam pada itu, insiden tragik tersebut menunjukkan kepentingan untuk majikan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja di semua tempat kerja.

Di bawah akta yang telah dipinda ini, tanggungjawab majikan diperluaskan merangkumi kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang diupah.

Mengulas lanjut, peranan penyelia keselamatan tapak bina juga penting dalam mengawasi dan memastikan persekitaran kerja yang selamat.

Hal ini kerana mereka bertanggungjawab memantau pematuhan protokol keselamatan, menjalankan pemeriksaan keselamatan dan memastikan semua pekerja dimaklumkan tentang bahaya yang mungkin berlaku.

“Adalah penting melantik individu bertanggungjawab dan kompeten sebagai penyelia keselamatan tapak bina demi mencegah kemalangan tragik yang berlaku di Machang.

“NIOSH sentiasa bersedia memberikan bimbingan, latihan dan bantuan kepada majikan dan pekerja bagi memastikan pematuhan peraturan berkaitan KKP. NIOSH percaya setiap pekerja berhak menikmati tempat kerja selamat dan sihat kerana usaha menjadikannya kenyataan adalah tanggungjawab semua pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI