Manfaat daripada pandemik lalu, ramai orang dapat menikmati kehidupan ‘bebas hutang’ khususnya pinjaman rumah, kereta dan peribadi ekoran kemudahan moratorium yang diberikan kepada rakyat negara ini bagi mengurangkan beban kewangan masing-masing.
Tidak dapat dibayangkan betapa seronoknya peminjam apabila setiap kali hujung bulan dalam tempoh enam bulan, gaji yang diterima tidak terusik langsung hanya sekadar untuk membeli barangan keperluan makanan dan perkara lain.
Sepanjang enam bulan penjimatan tersebut, ramai yang dapat menabung atau menggunakan duit ke arah perbelanjaan lain sehingga ada yang mampu membeli barangan kemas dan ada juga berbelanja bagi pelbagai pakej percutian di luar negara selepas sempadan antarabangsa dibuka.
Pastinya ramai yang mengimpikan semula momen tersebut tetapi apakan daya, kelangsungan hidup membuatkan semuanya perlu menunaikan komitmen dan tanggungjawab membayar hutang sehingga selesai.
Setelah tamat tempoh ‘berbulan madu’ bebas hutang, kumpulan peminjam yang masih terkesan terus mendapat perhatian daripada pihak bank dan institusi kewangan untuk berbincang dan menyusun semula pembiayaan masing-masing bagi mengelakkan mereka menanggung hutang tertunggak yang banyak.
Kesediaan peminjam yang datang bersemuka dan berbincang dengan pihak bank adalah satu cara terbaik untuk menyelesaikan beban masalah yang dihadapi dan pastinya setiap masalah ada penyelesaiannya.
Jangan biarkan kemelut kewangan sedia ada itu semakin serius ekoran kesibukan kerja, sikap ego yang membelenggu diri sehingga tidak mampu membayar hutang tertunggak kerana pihak bank sebenarnya akan membantu menstrukturkan semula pembiayaan sedia ada, membantu membuat pinjaman semula (kediaman) atau alternatif lain yang membuatkan peminjam itu boleh tidur lena selepas itu.
Alternatif terbaik yang lain adalah menyertai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang pastinya akan membantu mana-mana pihak untuk keluar daripada kemelut hutang kerana model program itu begitu berjaya sehingga mampu membebaskan seseorang individu itu bebas hutang.
Proses permohonannya kini semakin dipermudahkan dan mesra peminjam selain perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangannya dapat memberi penjelasan dan maklumat yang tepat kepada mereka yang berkunjung ke pejabat AKPK di seluruh negara secara percuma.
Banyak testimoni berjaya daripada program tersebut berbanding mengambil pendekatan mudah mendapatkan pinjaman segera daripada along atau agensi kewangan haram yang bakal menghantui seumur hidup kita selagi hutang tersebut belum dibayar.
Buang ego masing-masing, sedarlah diri tentang kewajipan membayar hutang kerana ia boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya sehingga boleh membawa maut.














