fbpx

4 hari terputus hubungan, keluarga selamat atau syahid – pelajar Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Z M Qaddoura. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – “Saya hanya menanti khabar sama ada ahli keluarga terselamat atau telah syahid.”

Itu luahan Mohammed Z.M. Qaddoura, 33, warganegara Palestin yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) Teknologi Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Menurutnya, dia telah terputus hubungan dengan 53 ahli keluarganya yang masih berada di Gaza sejak empat hari lalu.

“Ayah saya, keluarga saya semua masih di Gaza. Ketika ini saya sedang menunggu sekiranya ada mesej memaklumkan mereka telah syahid. Kami (rakyat Palestin) di sini sedang mempersiapkan diri dengan kemungkinan itu.

“Serangan kali ini, rejim zionis Israel tidak lagi memberikan amaran sebaliknya akan terus menyerang dan mengebom sesuatu kawasan beserta orang awam masih di dalamnya.

“Mereka juga menyasarkan kawasan kompleks kediaman lebih besar yang boleh menempatkan sehingga 20 unit rumah. Ini membuktikan mereka memang mahu menghapuskan seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza dalam serangan kali ini,” katanya kepada pemberita semasa Perhimpunan Solidariti UTM Bersama Palestin yang diadakan di universiti awam berkenaan, di sini hari ini.

Tambah Mohammed, walaupun dia berada dalam keadaan selamat di sini namun fikiran dan emosinya tidak tenang kerana tidak berdaya membuat apa-apa bagi membantu meringankan penderitaan dialami penduduk Gaza.

“Selain rasa bimbang akan keselamatan ahli keluarga, saya juga sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Di sini saya hanya dapat bantu menyebarkan mesej dan menyampaikan maklumat tentang situasi sebenar yang sedang berlaku di Gaza.

“Baru-baru ini, seorang rakan saya yang sedang melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur memaklumkan seramai 22 ahli keluarganya telah terbunuh sekelip mata apabila kediaman mereka di bom rejim zionis Israel.

“Memang mereka mahu bunuh seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza, mereka tidak sasarkan tentera Hamas sebaliknya orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas,” ujarnya yang sudah berada di Malaysia sejak empat tahun lalu kerana menyambung pengajian.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Nadratul Huda Ahmad pula memberitahu, perhimpunan itu dihadiri seramai lebih 1,000 peserta terdiri daripada penuntut serta kakitangan UTM, selain masyarakat awam.

Katanya, perhimpunan aman itu merupakan pengisian hari kedua bagi pelaksanaan Program UTM Bersama Palestin yang telah dimulakan semalam.

“Selain menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza, program ini bertujuan membangunkan mahasiswa yang holistik dan bukan sekadar cemerlang dalam aspek akademik tetapi juga cakna isu sejagat,” ujarnya yang juga merupakan penganjur perhimpunan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI