fbpx
ji chang-wook
JI CHANG-WOOK

Bukan senang cium perempuan – Ji Chang-wook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELANGKAH ‘kaki kanan’ dalam industri hiburan Korea Selatan bermula dengan cabang lakonan, Ji Chang-wook kian diberi kepercayaan membintangi filem dan drama sekitar 2006.

Kredibiliti dan versaliti lakonan aktor berusia 36 tahun itu tidak dapat disangkal lagi.

Disua watak cinta, aksi sehinggalah karakter antagonis, semuanya digalas cemerlang tanpa kelihatan kaku mahupun kayu.

Kemenjadian lakonan dalam filem aksi barangkali menjadi penyebab mengapa aktor tinggi lampai itu seringkali ditawarkan watak melihatkan seni mempertahankan diri dan karakter yang menuntutnya menggunakan fizikal untuk bertarung.

Selepas berjaya meraih perhatian menerusi filem Fabricated City yang sarat aksi ngeri, Chang-wook kembali menjadi topik popular apabila muncul dengan siri Disney+ berjudul The Worst of Evil.

Mengakui berbeza daripada pengalaman karya terdahulu, Chang-wook berkata, The Worst of Evil mempunyai keistimewaan tersendiri selain berdepan kesukaran yang paling tinggi untuk menjayakan watak supaya kelihatan semula jadi.

Watak aksi paling sukar

Meskipun pernah menggalas watak aksi berat sebelum ini, Chang-wook mengakui watak Park Jun-mo yang merupakan polis undercover (penyamar) antara tanggungjawab paling sukar untuk dijayakan selain perlu mengekalkan tahap ketegangan lakonan tinggi sepanjang pengambaran.

“Saya menggunakan banyak teknik lakonan bersulam kekuatan emosi untuk mengekalkan ketegangan dalam cerita ini dan bagaimana untuk membantu watak lain kelihatan tidak dibuat-buat.

“Mengekalkan ketegangan aksi dalam watak adalah sukar tetapi menarik. “Terdapat sempadan emosi yang sangat halus antara perjuangan politik dan hubungan kompleks dalam watak dan hubungan peribadi setiap watak.

“Watak ini sangat kompleks, saya pada awalnya hampir menolak untuk menjayakan naskhah ini, namun apabila difikirkan, kerumitan dan nuansa dalam karya ini sangat menarik untuk dieksplorasi,” ujarnya.

Tambah Chang-wook lagi, The Worst of Evil merupakan karya aksi thriller jenayah berdasarkan naratif sarat isu yang menuntut dirinya untuk keluar dari zon selesa.

Justeru, aktor itu sedaya upaya berusaha menjayakan watak diberi selain percaya kepada kredibiliti pasukan produksi yang sedikit sebanyak dapat membantunya menyampaikan lakonan yang berkesan.

“Saya mempunyai jangkaan tinggi untuk bekerja dengan pasukan, kerana mereka telah melakukan projek serupa sebelum ini dan hasilnya cukup cemerlang.

“Sudah agak lama saya tidak bawa watak aksi, memang terlalu sukar untuk mengekalkan emosi secara keseluruhan serta ketegangan dalam pembentukan watak kerana ini adalah siri dan bukan filem dua jam.

“Saya cuba menggambarkan Jun-mo sebagai watak dinamik tiga dimensi dan menunjukkan transisi bagaimana karakter tersebut berubah sehingga emosinya hancur lebur,” ujarnya panjang lebar.

Adegan berciuman

Selain babak aksi yang berjaya meraih pujian dan disifatkan sebagai lakonan cemerlang, adegan bercium antara Chang-wook dan BiBi dalam siri itu juga turut menjadi topik hangat dalam media sosial.

Rata-rata netizen berpendapat, mereka sangat profesional dan tidak kelihatan canggung sama sekali bahkan babak sedemikian menjadi nilai tambah kepada naskhah tersebut.

Meskipun begitu, Chang-wook memberitahu betapa sukarnya untuk menjayakan babak itu kerana mood dan emosi cerita tersebut sangat berbeza dengan genre cinta mahupun romantik yang dibawa sebelum ini.

“Kali pertama saya bercium dalam keadaan penuh emosi dan tegang.

“Kadang-kadang saya terpaksa menolak sebab terlalu segan dan rasa tidak selesa. Mujurlah penggambaran dan penyuntingan membantu adegan itu menjadi lebih baik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Chang-wook sempat memuji BiBi kerana berjaya mengendalikan adegan itu dengan baik dan profesional.

“Kalau saya sendiri pun rasa payah untuk babak ini, apatah lagi BiBi, pasti sangat mencabar sebagai seorang perempuan.

“Saya kagum dengan BiBi, lakonannya sangat menjadi bahkan mengendalikan adegan itu dengan profesional dan kelihatan mudah sekali, saya sangat bersyukur untuk itu,” tutur Chang-wook.

The Worst of Evil mengisahkan seorang polis yang menyamar untuk menyusup masuk ke dalam kumpulan mafia besar yang pernah memperdagangkan dadah di Korea, China dan Jepun.

Selain Chang-wook dan BiBi, The Worst of Evil turut dibintangi pelakon popular lain seperti Wi Ha-joon dan Im Se-mi.

Cinta lokasi

Selain sedang sibuk dengan kerjaya lakonan dan perihal lain, khalayak dibahangkan juga dengan sensasi cinta lokasi antara Chang-wook dan pelakon Shin Hye-sun.

Khabar angin pasangan sama cantik sama padan itu sedang hangat bercinta berawal daripada sebuah foto yang memaparkan mereka sedang meluangkan masa bersama di Pulau Jeju.

Dalam gambar dikongsikan, kedua-dua pelakon ini kelihatan mengenakan pakaian dengan warna yang serupa.

Interaksi dan keserasian yang ditunjukkan sangat semula jadi dan mencuri perhatian netizen hingga ada yang beranggapan bahawa mereka berdua sedang hangat bercinta.

Meskipun khabar angin ini sudah bertiup kencang, baik wakil Chang-wook mahupun Shin Hye-sun belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai gosip hubungan cinta mereka.

Masing-masing tidak menafikan mahupun mengiyakan khabar angin tersebut, namun dilihat masih mesra meninggalkan komen dalam ruangan foto antara satu sama lain menguatkan lagi spekulasi bahawa mereka sememangnya bercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN