fbpx

TDM terima 661 unit aset baharu bernilai RM96.34 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hafizuddeain melihat kenderaan Gerak Khas SF-21X pada Majlis Penyerahan Aset Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Beberapa aset pertahanan baharu bernilai RM96.34 juta diterima oleh Tentera Darat (TDM) pada Majlis Penyerahan Aset TDM Siri 3/23 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Antara aset perolehan baharu yang diterima sejak awal tahun ini terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan, bot, senjata, dan kelengkapan elektronik yang berjumlah 661 unit.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perolehan secara berperingkat itu menjadikan kesiagaan TDM sentiasa berada di tahap yang tinggi.

“Perolehan-perolehan ini meningkatkan lagi elemen utama mobiliti kesiagaan TDM seperti tiga Tan GS Kargo, ambulan medan, sistem penerbangan tanpa pemandu (UAS), dan kenderaan pembawa senjata (AGL).

“Antara yang lain juga termasuklah kenderaan operasi khas (SOV), bot gempur, treler bot, bot getah, senjata mortar 60 millimeter (mm), night vision goggle (NVG) dan laser range finder (LRF),” katanya ketika ditemui pemberita di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2024, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan atas peruntukan dana lebih banyak pada tahun hadapan.

“Kita dapat peruntukan lebih baik pada tahun hadapan dalam konteks pembangunan dan perbelanjaan mengurus, senarai aset itu kita memang dah ada tetapi kita tidak akan buat perolehan secara semberono.

“Kita akan berpandukan plan strategik Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG) demi menyiapkan angkatan untuk masa hadapan namun perbelanjaan itu akan dibuat secara seimbang (aset dan pembangunan),” katanya.

Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan telah menambah peruntukan untuk bidang keselamatan dan pertahanan negara.

Dalam pengumuman tersebut, Anwar berkata, pada tahun hadapan, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM19.7 bilion, iaitu meningkat RM2 bilion ringgit berbanding 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI