fbpx
Tangkap layar video pergaduhan bola sepak di Pahang.

[VIDEO] Sudah-sudahlah ‘terajang’ pengadil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUTLAH apa sekalipun sukan yang ada, bola sepak tetap menjadi pilihan masyarakat dunia.

Malah, negara sekecil Nauru yang mempunyai populasi seramai 12,814 penduduk juga mempunyai pasukan bola sepak kebangsaannya.

Di Malaysia sahaja, ada berpuluh ribu kelab atau pasukan bola sepak yang diwujudkan, tidak kira untuk bermain di liga profesional, amatur ataupun sekadar bermain di peringkat kampung-kampung.

Namun, apa sekalipun peringkat pertandingan atau perlawanan persahabatan yang dilangsungkan, pengadil perlawanan tetap ada dan mereka akan menjalankan tugasan mengikut peraturan sedia ada.

Yang salah dan melanggar peraturan, tetap akan dihukum dengan layangan kad kuning ataupun merah. Ada juga pengadil yang lebih ‘berlembut’ dengan memberi amaran awal kepada pemain sebelum menjatuhkan hukuman.

Tiada siapa yang kebal di atas padang melainkan peraturan dan undang-undang perlawanan.

Biasanya, pengadil yang dipilih untuk mengadili satu-satu perlawanan adalah mereka yang terlatih dan mempunyai ilmu tentang peraturan bola sepak.

Paling penting, mereka ini biasanya mempunyai lesen dan kelayakan selain telah diperakukan selepas lulus ujian-ujian tertentu oleh pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, peminat bola sepak tempatan kerap disajikan dengan pelbagai aksi ganas yang dilihat telah mengancam keselamatan pengadil bola sepak.

Ada sahaja insiden tumbukan, sepak terajang dan aksi kejar-mengejar yang berlaku di atas padang. Serangan ke atas pengadil biasanya dicetuskan oleh pemain sebelum campur tangan penonton.

Insiden sebegini mungkin nama remeh dan lucu, namun ada banyak kes yang telah melibatkan kematian dalam kalangan pengadil bola sepak di seluruh dunia.

Pada Disember tahun lalu, seorang pengadil di liga tempatan Argentina mati selepas ditembak di dalam padang oleh pemain yang tidak berpuas hati hanya kerana dia dilayangkan kad merah.

Sebelum itu juga iaitu di Amerika Syarikat, seorang pengadil untuk sebuah liga tempatan mati akibat ditumbuk seorang pemain remaja, juga kerana tidak berpuas hati dilayangkan kad kuning.

Ironinya, pengadil juga manusia dan mungkin ada membuat keputusan yang salah ketika mengadili satu-satu perlawanan.

Kesilapan ini bukan hanya dilakukan oleh pengadil amatur, malah pengadil di kejohanan Piala Dunia juga melakukan kesilapan.

Di akhirnya, pertimbangan positif dan rasa sabar amat diperlukan, sama ada sebagai pemain bola sepak mahupun penyokong.

Kita perlu kekal untuk mengawal emosi daripada melakukan tindakan luar kawalan yang boleh memberi kesan lebih buruk.

Ingatlah, bola sepak itu adalah sukan yang cukup indah dan perlu dinikmati oleh semua. Bola sepak bukanlah gelanggang tinju untuk menunjukkan siapa paling kuat dan siapa paling lemah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN