fbpx

Deposit SSPN cecah RM15.94 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada salah satu rakan strategik BMS 2023 hari ini.

PETALING JAYA – Deposit sebanyak RM15.94 bilion dengan 6.11 juta akaun telah berjaya diperolehi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sehingga 30 September lalu.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

“Ke arah menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

“Usaha ini bagi memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian. Alhamdulillah, dalam tempoh 19 tahun, Simpan SSPN terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa,” jelasnya dalam satu kenyataan selepas Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 dan sambutan Hari Tabungan Sedunia hari ini.

Tambah beliau, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

“Bukan itu sahaja, Simpan SSPN juga tawarkan keistimewaan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah,” tambahnya.

BMS SSPN merupakan program anjuran PTPTN yang dilaksanakan sejak 2018. Ia adalah satu usaha untuk menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

BMS 2023 yang bertemakan “Robotik : Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan”, buat julung kalinya dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia sepanjang bulan Oktober 2023.

Menurut Norliza, tema Robotik yang dipilih amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.

“Ini selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI