fbpx

Ustaz didakwa lakukan amang seksual terhadap murid 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Abdul Halim (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid lelaki berusia 12 tahun di Pulau Pangkor, Jun lalu.

IPOH – Seorang guru bahasa Arab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas anak murid lelaki berusia 12 tahun, Jun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang dipanggil ustaz itu didakwa melakukan amang seksual fizikal di dua lokasi berasingan.

Lokasi tersebut ialah di sebuah rumah peranginan di Pulau Pangkor pada pukul 10 hingga 11 malam pada 28 Jun 2023 dan di sebuah bilik di sebuah resort di Pulau Pangkor pada pukul 10 hingga 12 malam, 30 Jun 2023.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang masih bujang itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Amirah Nabihan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh namun lelaki itu memohon jumlah ikat jamin minimum atas alasan perlu menjaga ayah yang sedang sakit serta adik-beradiknya yang susah.

Hilmiah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 5 Disember depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI