fbpx

[VIDEO] Para Asian: Dek Wan sebak hilang emas di Hangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIDZUAN tidak dapat meneruskan aksinya dalam saingan T36 selepas melakukan 'false start'. - FB MAJLIS PARALIMPIK MALAYSIA

IMPIAN jaguh pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk membutirkan pingat emas 100 meter (m) T36 (cerebral palsy) pada Sukan Para Asia Hangzhou tidak kesampaian apabila digagalkan oleh ‘false start’.

Ridzuan, 36, yang lebih mesra disapa Dek Wan dilihat tidak dapat menahan kekecewaan itu dan menangis sejurus selepas penyertaannya dibatalkan sambil memohon maaf kepada ibu bapanya dan seluruh rakyat Malaysia atas kegagalan tersebut.

Dalam satu video yang dimuat naik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di Facebook hari ini, Dek Wan dilihat menangis sambil memeluk jurulatihnya, Hamberi Mahat
sejurus berakhirnya aksi final sebentar tadi.

Hamberi berkata, dia sudah melakukan sehabis baik untuk membantu anak didiknya itu mengelak daripada melakukan kesilapan di blok permulaan.

“Dia (Dek Wan) memang sangat kecewa. Sebenarnya semalam di separuh akhir, dia ada melakukan kesilapan di blok (permulaan). Tapi bila saya tunjuk video dan dia nampak kesilapan itu, saya beritahu jangan lakukan kesilapan sama lagi.

“Pagi tadi, ketika sesi pemanas badan untuk final, kami sama-sama lakukan pembetulan untuk reaksi di blok dan semuanya berjalan lancar.

“Sebenarnya Dek Wan sekarang ini sedang berada pada prestasi terbaik. Masa separuh akhir pun dia melakukan catatan peribadi terbaik musim ini.

“Sebagai jurulatih saya pun meletakkan sasaran tertentu tapi di perlumbaan final, mungkin dia terlalu hendak menang sehingga tak dapat kawal emosinya dan menyebabkan melakukan ‘false start’,” katanya.

Jelas Hamberi, pada pandangannya Ridzuan sudah melakukan yang sebaik mungkin namun rezeki tidak memihak kepadanya pada kali ini.

China menguasai kedudukan 1-2 dengan Deng Peicheng meraih emas menerusi 11.80 saat (s), yang juga rekod baru temasya, menewaskan Yang Yifei (12.15s). Gangsa milik Matsumoto Takeru dari Jepun (12.38s). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI