fbpx

Citaglobal miliki 30 peratus saham dalam syarikat kabel dasar laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Industri kabel dasar laut menawarkan peluang perniagaan berpotensi seiring pertumbuhan permintaan terhadap segmen tenaga boleh baharu dan telekomunikasi. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Citaglobal Berhad (Citaglobal) telah memiliki 30 peratus saham dalam syarikat kabel dasar laut, iFactors Sdn. Bhd. (iFactors) bernilai RM25.2 juta sebagai usahanya untuk meluaskan operasi dalam perniagaan tenaga boleh baharu dan telekomunikasi.

Perjanjian tersebut bakal memberi manfaat kepada pendapatan Citaglobal kerana  pembelian ini dilengkapi dengan jaminan keuntungan bersih selama dua tahun sebanyak RM21 juta dan iFactors mempunyai buku pesanan sebanyak RM528 juta.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, syarikat juga mempunyai pilihan untuk membeli tambahan 21 peratus saham iFACTORS setelah jaminan keuntungan sebanyak RM21 juta telah tercapai.

Jelasnya, untuk pengambilalihan tersebut, Citaglobal akan membeli 30 peratus saham melalui gabungan tunai dan saham pertimbangan baru yang berharga RM1.50 setiap satu.

Melalui urusniaga ini, Citaglobal akan berada pada kedudukan yang baik untuk membida pekerjaan kabel kuasa voltan tinggi bawah laut pada masa hadapan. 

Tambah beliau, kabel dasar laut semakin penting sejak kebelakangan ini, terutamanya dengan kemunculan tenaga boleh diperbaharui luar pesisir yang memerlukan kabel eksport untuk membawa tenaga boleh diperbaharui ke darat.

“Ini adalah perjanjian penting untuk kami dan kami mengalu-alukan iFactors ke dalam keluarga Citaglobal dan menyokong mereka dalam bab seterusnya. 

“Bagi Kumpulan Citaglobal, pemerolehan ini membuka akses segera kepada pasaran sistem kabel dasar laut yang menguntungkan. 

“Walaupun kepakaran dan semangat pasukan di iFACTORS telah membawa kepada buku pesanan mereka yang sihat dan pertumbuhan yang mengagumkan, kami mempunyai misi untuk membawa iFactors ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan strategi kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Mohamad Norza menerangkan, lembaga pengarah berkeyakinan terhadap usaha niaga ini kerana perniagaan kabel dasar laut akan membolehkan Kumpulan mempelbagaikan pendapatan dan aliran pendapatannya, meningkatkan keuntungan dan mencipta nilai untuk para pemegang saham.

iFactors terlibat dalam perniagaan penyelenggaraan dan perkhidmatan peralatan dan komponen telekomunikasi.

Diperbadankan pada tahun 1997, ia menyediakan penyelesaian khusus dalam penyelenggaraan dan pelaksanaan rangkaian kabel dasar laut optik, khususnya dalam bidang sistem kabel dasar laut tanpa ulangan.

 Pada masa ini, iFactors mempunyai buku pesanan kira-kira RM528 juta, dengan buku pesanan tertunggak kira-kira RM300 juta. 

Buku pesanan tertunggaknya terutamanya terdiri daripada projek yang berkaitan dengan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pentauliahan, penyelenggaraan dan pemajakan kabel gentian optik dasar laut atau kabel dasar laut.

 Antara projek terjamin iFactor yang penting adalah kontrak konsesi RM149 juta untuk pembinaan dan pemajakan sistem gentian optik dasar laut sambungan berkelajuan tinggi antara luar pesisir Semenanjung Malaysia serta pusat data pelanggan untuk tempoh 20 tahun.

 Syarikat juga baru-baru ini memperoleh kontrak AS$60 juta (RM287 juta) untuk pembinaan sistem kabel gentian optik dasar laut antara Tawau, Malaysia dan Parang, sebuah perbandaran di Filipina. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI