fbpx

MYAirline diarah beri penjelasan soal gaji, faedah kepada pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Syarikat penerbangan MYAirline diarahkan untuk memberi penjelasan bertulis berhubung kegagalan pihaknya memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL).

Penjelasan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) itu termasuk soal pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan sebelum 27 Oktober.

Mavcom dalam satu kenyataan berkata, sebaik menerima penjelasan bertulis MYAirline, Mavcom akan menilai sama ada syarikat terbabit layak kekal sebagai pemegang ASL,  digantung atau dibatalkan menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Selain itu, Mavcom juga sedang menyiasat MYAirline dengan lebih lanjut untuk sebarang kemungkinan pelanggaran syarat ASL.

“Berkenaan dengan bayaran balik kepada para pengguna yang terjejas pula, Mavcom telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk pihak Bank Negara Malaysia untuk mengusahakan semua pilihan yang berkemungkinan dalam mendapatkan bayaran balik bagi pengguna tersebut.

“Mavcom akan memaklumkan sebarang kemaskini berkenaan bayaran balik dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu katanya, Mavcom telah menubuhkan pasukan petugas (Task Force) yang terdiri daripada seorang Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.

“Task Force ini diberi mandat untuk menyiasat bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberi cadangan mengenai langkah seterusnya.

“Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Task Force antara lain, akan turut menyemak semula rangka tersebut bagi sebarang penambahbaikan,” ujarnya.

Terdahulu, MYAirline mengumumkan penangguhan operasi syarikat penerbangan tersebut berkuat kuasa pada 12 Oktober. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI