fbpx

Dua remaja main api tragedi rakan mati dihukum cuci tandas 100 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO! 

KUALA SELANGOR – Perbuatan dua remaja lelaki yang membakar tandas sehingga mengundang tragedi kematian rakan mereka tahun lalu berbalas apabila diperintah mencuci tandas dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhi hukuman bersifat khidmat masyarakat selama 100 jam di sekitar daerah ini, selepas kedua-dua remaja berusia 16 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mereka.

Siti Hajar turut memerintahkan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 setiap seorang selama dua tahun selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dalam tempoh sama.

“Kamu juga tidak boleh keluar rumah sendirian bermula pukul 8 malam hingga 6 pagi kecuali ditemani ibu bapa masing-masing.

“Kena hadir bengkel yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja yang masih bersekolah itu didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan tandas awam gelanggang futsal, Jalan Cakera Purnama, Fasa 3 Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kira-kira pukul 2.47 petang pada 28 Ogos tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Terdahulu pada prosiding tersebut, JKM yang mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh selain mengemukakan dua syor termasuk berkelakuan baik.

Dua penasihat awam termasuk seorang guru turut memberikan penyataan dalam galeri mahkamah menegur perbuatan kedua-dua tertuduh yang telah membinasakan harta awam.

“Ini juga memberikan kesan kepada keluarga arwah (Muhammad Damin Mikhail). Perlu muhasabah diri,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri memohon hukuman setimpal kerana melibatkan kepentingan awam.

Turut hadir dalam prosiding tersebut adalah peguam pemerhati, Johan Ariff Salim Khan mewakili keluarga mangsa.

Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo! pada 28 Ogos tahun lalu melaporkan Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, ditemui dengan kesan melecur di dalam sebuah tandas pada pukul 2.38 petang Ahad lalu dalam kejadian kebakaran di sebuah tandas terbiar di Puncak Alam Fasa 3.

Kebakaran berlaku apabila dua rakan mangsa bergurau de­ngan membakar sesuatu di hadapan pintu masuk bangunan itu sehingga meragut nyawa mangsa. Ketika ditemui, terdapat kesan melecur pada badan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI