fbpx

Keputusan kekal penjara Stampa halang penipuan tuntutan Sulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan terhadap penimbang tara Sepanyol dalam tuntutan kumpulan Sulu, Gonzalo Stampa atas kesalahan menghina mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, beliau yakin bahawa kemenangan tersebut akan menjadi penghalang selanjutnya kepada tindakan buruk yang dilakukan oleh pelaku penipuan Sulu.

Kata Azalina, keputusan itu juga mengesahkan bahawa penipuan Sulu dimungkinkan oleh tingkah laku jenayah seorang penimbang tara yang juga penyangak.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan penting itu yang disifatkan sebagai kemenangan penting bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian institusi timbang tara antarabangsa sebagai bentuk alternatif penyelesaian pertikaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Stampa sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Disember tahun lalu, yang turut mengenakan larangan ke atas Stampa untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Mahkamah Rayuan Madrid dalam penghakimannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Stampa secara sedar dan sengaja, mengingkari ketetapan dan perintah jelas yang menyebabkan pelantikannya sebagai penimbang tara terbatal.

Dalam pada itu, Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas komitmen dan kesungguhan beliau dalam melindungi kedaulatan Malaysia serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Malaysia yang memperjuangkan dan melawan tuntutan berkenaan.

“Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Menteri Luar, Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Sekretariat Khas Sulu, rakan-rakan kabinet saya dan rakyat Malaysia amnya atas sokongan berterusan mereka dalam perjuangan ini,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Madani akan terus memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia terpelihara sepanjang masa.

Sebelum ini, lapan warga Filipina memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara.

Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan award akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu terbabit yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Susulan itu, dalam usaha menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg serta Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis, Malaysia memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan menghina mahkamah apabila mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

Pada 11 Disember tahun lepas, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dan kerajaan Malaysia menggesa Mahkamah Madrid agar menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI