fbpx

Digital Perak sasar 2,000 usahawan PMKS guna e-dagang tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESERTA mendengar taklimat yang diberikan sepanjang Program Perak Go Global yang diadakan di IKM Lumut, Seri Manjung hari ini.

LUMUT – Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) menyasarkan kira-kira 2,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini terlibat dalam perniagaan dalam talian, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir, menjelaskan ia sebagai usaha pihaknya bagi meramaikan lagi usahawan PMKS di Perak terlibat dalam e-dagang, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Ketika ini dianggarkan beratus usahawan PMKS terlibat dalam e-dagang yang diceburi sejak negara mengalami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran isu Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Perak Go Global 2023 di sini hari ini.

Menurutnya, Program Perak Go Global itu adalah julung kali diadakan dan pihaknya menyasarkan mengadakan program itu antara lima hingga enam kali tahun ini dengan kehadiran antara 50 hingga 100 usahawan menghadirinya.

Jelasnya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik pihak Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) Sdn. Bhd. dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) membantu usahawan PMKS tempatan mempromosi dan mengeksport produk mereka ke luar negara dengan lebih mudah.

Katanya, melalui kerjasama itu, program tersebut dapat menggalakkan PMKS tempatan menyertai dan berdagang menerusi platform e-dagang untuk memperluas perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa di bawah program ‘eCommerce – On Boarding Program’.

Beliau memberitahu, menerusi program rentas sempadan itu, PMKS memperoleh pengetahuan pengoperasian perniagaan melalui sistem platform e-dagang, kemahiran pemasaran digital serta menggunakan platform e-kedai (e-store).

Selain itu, ujarnya, program itu turut memperkenalkan aplikasi ‘Clicks@Perak’ yang telah dibangunkan oleh pihak Digital Perak untuk memperkasa pembayaran tanpa tunai di kalangan PMKS Perak.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI