fbpx

14,000 pengunjung meriah Hari Statistik Negara 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MOHD. UZIR (tiga dari kanan) ketika menyertai salah satu aktiviti bersama pengunjung HSN 2023 di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Sekitar 14,000 pengunjung terutamanya penduduk dari sekitar Sabak Bernam, Sekinchan dan Sungai Panjang hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2023 yang diadakan di Stadium Sungai Besar, di sini selama tiga hari dan berakhir semalam.

Acara tahunan anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang peri pen­tingnya statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara.

Selain itu, ia memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat keunikan dan kesenian statistik dengan melibatkan diri dalam
aktiviti yang dianjurkan oleh DOSM.

Mengetengahkan slogan ‘Yuk Mampir’, HSN 2023 turut mene­rima kunjungan daripada pelajar-pelajar tadika, sekolah tahfiz,
sekolah rendah dan menengah serta penuntut-penuntut universiti.

DOSM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, antara program dan aktiviti yang dianjurkan sempena sambutan HSN kali ini ialah Pertandingan Debat Statistik antara institusi pengajian tinggi (IPT), yang mana peringkat akhir debat antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dimenangi oleh USM.

“Turut diadakan ialah Wawancara Statistik bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Azman Dahlan, manakala dalam Sesi Literasi Statistik, panel-panel DOSM telah berkongsi pelaksa­naan Banci Pertanian 2024 serta Penemuan Survei Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

“Seterusnya, HSN 2023 juga menganjur pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat antaranya jualan industri kecil sederhana dan Jualan Ehsan Rahmah, yang menawarkan produk seperti beras, telur dan minyak masak.

“Turut mendapat sambutan ialah Himpunan 1,000 Motor Klasik oleh Persatuan Raiders Mania, kuiz statistik, cabutan bertuah, Soopa Doopa dan mini zoo.

“Bagi acara kesenian dan kebudayaan pula, Yuk Mampir HSN 2023 telah menganjurkan Pertan­dingan Suara Emas Hari Statistik Negara.

“Turut diadakan ialah persembahan festival oleh Kumpulan Pentarama dari Jabatan Penerangan Malaysia dan pentas kebudayaan setempat,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis penutup, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Pertandingan Bola Sepak Piala Ketua Perangkawan Malaysia bagi bawah 10 dan 12 tahun serta Larian D’Bendang akan dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan hangat di kalangan komuniti setempat.

“Sambutan HSN 2023 di pe­ringkat DOSM akan diteruskan sehingga ke penghujung tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut DOSM, pihaknya telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium digital yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

“OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.

“Portal ini telah mencapai 1 juta views sejak dilancarkan pada 12 Januari 2023. Semoga portal ini terus memberikan manfaat statistik kepada semua,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI