PETALING JAYA – Sindiket menikahkan isteri orang dikenali sebagai ‘Nikah Siri’ yang popular dalam kalangan warga Indonesia di Lembah Klang kini menjadi pilihan pasangan terdesak warga tempatan untuk menghalalkan hubungan tidak direstui.
Sindiket tersebut yang menjadikan tok kadinya dalam kalangan warga Indonesia bukan sahaja tidak memerlukan sebarang dokumen, malah boleh menikahkan seseorang wanita walaupun dia masih berstatus isteri orang.
Nikah Siri merupakan kaedah nikah paling ringkas dan popular dalam kalangan masyarakat Indonesia yang menetap di Malaysia kerana ia hanya memerlukan pengantin lelaki dan perempuan, wali serta saksi selain upah tok kadi.
Mendedahkan perkara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Azam, 39, berkata, situasi itu terjadi kepada dirinya sendiri apabila mendapat tahu isterinya telah bernikah dengan lelaki lain di satu lokasi di Sungai Long, Kajang kelmarin.
Katanya, walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak Jun lalu akibat masalah rumah tangga, tetapi tidak pernah melafazkan cerai kepada wanita berkenaan.
“Mereka akad guna sindiket Nikah Siri yang sering digunakan oleh warga Indonesia di sini. Tok kadinya pula merupakan imam warga negara berkenaan.
“Saya tahu selepas melihat klip video yang dihantar oleh sepupu isteri. Mereka nikah koboi kerana tiada sebarang dokumen untuk mengesahkan status pasangan dan cukup hanya mengatakan ingin berkahwin,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Azam, dia membuat laporan polis bertujuan mendapatkan semula hak penjagaan anak lelaki tunggalnya kerana dia tidak pernah mengabaikan nafkah walaupun kanak-kanak itu dijaga isteri selama ini.
Tambahnya, kegiatan sindiket itu semakin membarah apabila ia turut digunakan oleh warga tempatan untuk bernikah.
“Modal hanya RM100 hingga RM200 untuk bernikah. Pasangan kemudian membuat kenduri untuk memberi makan kepada kumpulan sindiket,” katanya.
Ujar Azam, dia berharap agar pihak berkuasa terutamanya majlis agama Islam negeri memantau kegiatan itu.
“Jika tidak dibendung, masalah ini akan merebak dengan cepat, saya risau dengan hukum hakam agama yang dipermainkan oleh ahli sindiket itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaki, 35, berkata, dia turut menggunakan sindiket Nikah Siri untuk berkahwin dengan wanita Indonesia selepas hubungan mereka tidak direstui keluarga pada 2015.
“Nikah amat mudah kerana tidak memerlukan sebarang dokumen yang mengesahkan pernikahan. Kini kami ada dua anak berusia empat dan tujuh tahun.
“Mereka tidak bersekolah kerana tiada sijil kelahiran. Saya sedang memikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.














