PETALING JAYA – Rata-rata pengguna di beberapa negeri hairan apabila harga ayam standard tiba-tiba naik di beberapa negeri sejak seminggu lalu.
Harga siling semasa bagi ayam standard sekarang adalah RM9.40 sekilogram.
Bagi pihak peniaga pula beranggapan, kenaikan itu tidak dapat dielak kerana pembekal telah menaikkan harga borong.
Di Kota Bharu, Kelantan, seorang penjawat awam, Ahmad Naim Razak, 50, berkata, dia hairan apabila harga ayam yang sebelum ini berpatutan, naik melebihi RM8 sekilogram pada hujung bulan lalu.
“Saya hairan harga ayam biasanya sekitar RM6 sekilo naik secara tiba-tiba sampai RM8 sekilo,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Raja Norfatihah Raja Hassan, 35, berkata, harga ayam yang ditetapkan di beberapa premis di Kota Bharu kembali naik dan keadaan itu sama seperti semasa krisis bekalan bahan mentah tersebut pada tahun lalu.
“Sepatutnya peniaga tidak perlu menaikkan harga ayam proses dan kekal dijual pada harga purata RM6.50 hingga RM7 sekilogram kerana bekalan bahan mentah tersebut banyak di pasaran,” jelasnya.
Di Melaka, seorang peniaga ayam, Shakir Samad, 33, berkata, harga daripada pembekal mengalami kenaikan daripada RM8.90 kepada RM9.40 sekilogram sejak awal minggu.
Ujarnya, susulan itu pihaknya kini terpaksa menjual ayam pada harga RM10.10 sekilogram kepada pelanggan, termasuk dengan upah memotong.
“Kalau pembekal terus naikkan harga, akan ada pembekal lain yang turunkan harga untuk memastikan ayam mereka terjual. Jadi kami tidak begitu bimbang dengan situasi ini,” ujarnya.
Di George Town, Pulau Pinang pula, seorang peniaga ayam, Mohamad Nasir Abdul Kalam,32, berkata, pihak pembekal telah menaikkan harga ayam standard RM1.20 berbanding harga jualan sekitar RM7.30 hingga RM7.50 sekilo sebelum ini.
Menurutnya, rentetan kenaikan harga ayam di peringkat pembekal telah memberi impak besar kepada para peniaga di pasar khususnya.
“Sudahlah harga ayam di peringkat pembekal naik sehingga RM8.50 sekilo, pelanggan kami pula semakin berkurangan sehingga 40 peratus ketika ini.
“Sebelum ini, kira-kira 40 pelanggan datang membeli ayam hanya dalam tempoh sehari, namun jumlahnya dilihat semakin susut kepada 20 orang sahaja,” jelasnya.
Di Kuala Terengganu, salah seorang peniaga, Che Wan Rosli Che Ali, 48, mendakwa ayam standard mengalami kenaikan 30 sen sebanyak empat kali sejak awal bulan ini.
“Setakat ini, empat kali kenaikan itu telah meningkatkan harga ayam standard sebanyak RM1.20.
“Ia menyebabkan saya terpaksa menjual ayam standard pada harga RM9.99 melebihi harga siling bagi jualan runcit manakala RM8.99 bagi borong,” katanya.















