fbpx

Mahkamah: Bekas hakim, ahli perniagaan gagal dapat semula RM182,100 dirampas SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan Putrajaya.

PUTRAJAYA – Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas dan seorang ahli perniagaan gagal segala usaha bagi mendapatkan semula wang RM182,100 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan akhir mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 April lalu.

SPRM memohon melucuthak wang tunai RM182,100 kepada kerajaan selepas disita daripada Azmil Muntapha, 49, di pejabatnya pada 22 dan 26 Julai 2019 ketika beliau bertugas sebagai hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu.

Wang tersebut didakwa diperolehi daripada ahli perniagaan, Leong Peng Woon, 68, yang merupakan seorang kontraktor melalui pinjaman berjumlah RM200,000 bagi membeli sebuah rumah lelong di Hulu Selangor.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak rayuan kedua-duanya serta berpendapat keputusan itu dicapai berlandaskan fakta dan undang-undang.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah berpendapat, pendakwa raya (responden) berjaya membuktikan permohonan lucut hak itu dilakukan berdasarkan kehendak undang-undang.

Pada 10 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee menolak rayuan mereka selepas meneliti petisyen dan afidavit Azmil Muntapha, 48, dan Peng Woon, 67, serta keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Saleh pada 23 November 2021.

Wendy Ooi turut berpendapat, Azmil Muntapha dan Peng Woon juga gagal membuktikan kebarangkalian RM182,100 adalah wang pinjaman di bawah Perjanjian Pinjaman yang dibuat pada 11 dan 19 Jun 2019.

Azmil Muntapha merupakan koroner dalam prosiding inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock iaitu Setiausaha Politik Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, sewaktu dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Pada prosiding itu, peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Hasshahari Johari Mawi mewakili kedua-dua perayu manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Fauziah Daud mewakili responden.

Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah, ketiadaan stem pada surat perjanjian tidak menjadikan dokumen itu cacat dan perjanjian pinjaman itu tidak sah.

Hujah beliau, wang itu bukan berkaitan urusan rasmi sebaliknya adalah hasil daripada pinjaman persahabatan bertujuan membeli rumah di Hulu Selangor.

Awang Armadajaya menghujahkan, wang tersebut tiada kaitan dengan kesalahan rasuah yang dipertuduhkan terhadap Azmil Muntapha iaitu menerima wang RM5,000.

Sementara itu, Fauziah menghujahkan, afidavit pegawai penyiasat menyatakan Azmil Muntapha gagal menjelaskan bagaimana beliau memperoleh wang yang ditemuI di pejabatnya.

Pihak pendakwaan juga berpuas hati bahawa siasatan SPRM mendapati wang yang dijumpai itu berpunca daripada sumber haram.

“Azmil Muntapha menyatakan wang tersebut dipinjam daripada ahli perniagaan tersebut walhal wang berkenaan ditemuI di tempat-tempat yang sangat disangsikan iaitu dalam kamar dan tempat duduk hakim,” ujarnya.

Tambah beliau, butiran berhubung perjanjian pinjaman itu juga diragui kesahihannya kerana semakan melalui tarikh setem dan kad pengenalan perayu menunjukkan, tiada rekod perjanjian itu telah disetemkan.

Pada 19 Oktober 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

Azmil Muntapha merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya iaitu sehari penjara dan denda RM12,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI