fbpx

Dewan Rakyat: Murid aliran STEM meningkat 45.73 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan enrolmen murid dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan peningkatan daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 45.73 peratus pada 2023.

Beliau berkata, peningkatan tersebut hasil pelbagai langkah proaktif Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid menerusi pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum.

“KPM juga meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM serta meningkatkan kesedaran ibu bapa, orang awam terhadap STEM.

“Usaha meningkatkan kompetensi guru dalam pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah merupakan antara langkah dilaksana bagi meningkatkan minat murid seterusnya mendorong mereka memilih aliran STEM di peringkat kajian lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Krau) berhubung langkah KPM menangani isu peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM, dari 2017 hingga 2022, yang mencatatkan penurunan daripada 45.2 peratus kepada 40.94 peratus di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi perhatian kepada kesediaan infrastruktur untuk menyokong pendidikan STEM seperti diumum dalam Belanjawan 2024.

“Sejumlah RM100 juta disediakan untuk pemerkasaan STEM, khusus untuk tujuan selenggara dan naik taraf makmal komputer selain perolehan peralatan baharu.

“Peruntukan lain sebanyak RM254 juta juga telah diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dan tujuan ubah suai naik taraf Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dalam Rolling Plan ke-3,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI