fbpx

Wanita dicekup simpan 1,000 pil kuda, 94 botol heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lembah, Cherang Ruku dekat Pasir Puteh semalam. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang wanita yang disyaki pengedar dadah dicekup selepas didapati menyimpan sebanyak 1,000 biji pil kuda dam 94 botol heroin bernilai RM199,000 di dalam sebuah rumah dan kereta di Kampung Lembah, Cherang Ruku dekat Pasir Puteh semalam.

Penganggur yang berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.25 pagi semasa berada di kawasan beranda rumah tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua dadah tersebut ditemui semasa polis menjalankan pemeriksaan di dalam rumah dan kereta jenis Honda Civic milik wanita itu.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek yang sudah berkahwin dikatakan menjadi orang perantaraan dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Selain dadah, kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

“Pil kuda dan dadah jenis heroin yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada seramai 6,327 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, semakan mendapati, wanita terbabit tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memaklumkan, pihaknya telah melupus pelbagai jenis dadah seberat lebih 454 tan bernilai RM90 juta melibatkan 2,368 kertas siasatan sepanjang tempoh 17 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI