BAYANGAN peserta misteri program nyanyian musim ketiga (FD3) yang dicanang-canang dengan pangkal nama ‘K’ sempat menuai spekulasi, namun sekejap kemudian, hilang ditelan sorak All Stars Gegar Vaganza (GV10).
Entah makan diri atau silap percaturan, siapa menang sensasi bakal raih rating tinggi, itu kesimpulan awal menyaksikan perang dua program pertandingan nyanyian tanah air terbesar setakat ini, GV10 dan FD3.
Selain nyanyian, dengan hanya satu aspek kelainan, iaitu duo penyanyi ikatan kekeluargaan, kelihatan kedua-dua program itu sebenarnya sedang berkiblatkan sensasi untuk beraja di mata penonton.
Jika GV10 ada berbelas senarai peserta nama besar dengan tradisi gempita ‘drama’ daripada pengacara, peserta dan juri-juri termasuk cerita Kak Lina yang tak pernah usai walaupun sudah menarik diri, secara kebetulan atau tidak, FD pula bagaikan mengheret badi ‘problematik’ keluarga sebagai umpan sensasi.
Kisah perceraian ibu bapa kemudiannya meletupkan bom kontroversi dengan percakaran adik-beradik, termasuk hilang reda ibu memanaskan kemunculan penyanyi
Shila Amzah bersama adik lelakinya, Syahir Amzah dalam FD3. Selagi tak habis FD selagi itu tak habis kisah Shila, tengoklah nanti.
Kenapa FD ada badi? Mana tidaknya lihat sahaja kepanasan musim terdahulu yang mengheret banyak perhatian dengan kisah perkahwinan pesertanya, Fyna Jebat bersama bekas jurulatih bola sepak terkemuka negara, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Dari awal hingga tamat pertandingan, kisah Fyna dan Zainal tidak berhenti. Daripada pengakuan sehinggalah kes bergaduh dengan madu dan kini sudah bercerai, itulah sejarah Famili Duo. Tanpa sandaran status sebagai isteri kedua Zainal, siapalah Fyna untuk diperhatikan.
Untuk musim ini, kekuatan Shila Amzah dan adiknya meneruskan perjuangan dengan menanggung duri dalam daging adalah kesakitan yang sukar dimengertikan.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itu yang industri dan stesen televisyen tengah jual ketika ini.
Untuk netizen yang cenderung hanya nampak tajuk kisah hiburan sewaktu melayari mana-mana portal berita, termasuklah Kosmo! Online dan HibGlam (portal baharu Media Mulia), janganlah mengeluh sangat.
Maaflah jika kisah sensasi artis bertubi-tubi jadi paparan berita tetapi masih dalam skop hiburan sehingga ada yang mengeluh tak sempat hadam sudah masuk isu baharu.
Sebenarnya, kisah dunia hiburan hanya serpihan daripada segedung kisah dunia, perang Palestin-Israel harga barang melambung tinggi, hari-hari ada sahaja perkembangan terkini.
Bertabahlah netizen, sama dengan orang media dan pengamal industri hiburan, menjadi netizen atau peminat zaman madani ini jiwa kena keras! Nak marah atau kritik silakan, itu memang tugas kalian.
Nak ketawa pun marilah gelak berjemaah, anggap ini semua selingan, yang pasti kita semua tengah ‘struggle’ cari duit hadap inflasi. Percayalah, walau runtuh pentas
GV, banyak lagi program lain tengah tumbuh. Buka mata, kumpul idea, teruslah jana ‘pandangan’ untuk isi masa semata-mata.














