BEIRUT, LEBANON – Kumpulan Hizbollah di Lebanon dan askar Israel saling berbalas serangan di sempadannya hari ini yang meragut nyawa seorang penduduk.
Ia sekali gus meningkatkan ketegangan rentas sempadan ketika Rejim Zionis terus bertempur dengan pejuang Hamas di Gaza.
Tentera Israel turut menutup kawasan sempadan kepada orang awam apabila kejadian berbalas tembakan dengan Hizbollah di Lebanon semakin kerap berlaku.
Ia mengorbankan lebih 10 orang di Lebanon dan sekurang-kurangnya dua di Israel sejak Ahad lalu.
Jurucakap askar Zionis berkata, seorang penduduk maut manakala sebilangan yang lain cedera dalam serangan peluru berpandu antikereta kebal di Shtula.
“Selaras dengan penilaian situasi dan insiden tembakan di utara Israel baru-baru ini, kawasan sehingga empat kilometer dari sempadan utara dengan Lebanon telah ditutup,” kata askar Zionis dalam kenyataan lain.
Hizbollah pada pagi ini berkata bahawa ia telah menyasarkan markas tentera Zionis di kawasan Shtula dengan menggunakan peluru berpandu. – AFP