fbpx

Terengganu tersungkur dibedil PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD ragbi PDRM berjaya menumbangkan Terengganu untuk melangkah ke separuh akhir Ragbi Piala Agong di UPM petang tadi.

SERDANG – Impian pasukan Terengganu untuk melangkah ke pentas separuh akhir Ragbi Piala Agong tidak kesampaian apabila tumpas 17-20 kepada skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebentar tadi.

Pada saingan tersebut, Terengganu yang turun selaku naib juara edisi lalu menampilkan aksi cukup garang selepas membuka jaringan menerusi try Harriz Ezzat Hamidon selepas bijak membuka larian di sebelah kiri kubu PDRM.

Tersentak dengan keadaan tersebut, PDRM yang diketuai tonggak kebangsaan, K. Dineshvaran atau dikenali sebagai Dugro mula mengatur strategi sebelum mengutip tiga mata selepas dihadiahkan penalti.

PDRM seakan-akan dirasuk sebelum berjaya membuka mata jaringan menerusi try Dugro pada penghujung babak pertama perlawanan sebelum Muhammad Amirul Aqil Kamsol melengkapkan conversion untuk mendahului separuh masa pertama dengan keputusan 10-7.

Pada separuh masa kedua, Terengganu kembali mengatur strategi apabila kembali di hadapan selepas Mohamad Nasharuddin Ismail melakukan try dan Mohammad Nazreen Fitri melengkapkan conversion.

Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan Terengganu membuka ruang kepada PDRM untuk melakukan try menerusi Bula Aisaka untuk mengikat kedudukan 17-14.

Pada penghujung perlawanan, Terengganu terus dihukum apabila PDRM dihadiahkan penalti sebelum Lee James Chapman melengkapkan kemenangan 20-17.

Hasil kemenangan tersebut, PDRM bakal berdepan Sabah pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada 18 Oktober di Stadium Ragbi Perak Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI