fbpx

Pek nga, cakoi gulai temenung Kuala Sanglang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pek nga, cakoi antara hidangan yang boleh dimakan bersama gulai temenung.

AROMA rempah-ratus gulai ikan kembung atau dalam loghat Utara, ikan temenung membangkitkan selera pelanggan di gerai Mak Teh Gulai Temenung, Kuala Sanglang, Kedah.

Rasa rempah gulai warisan turun-temurun keluarga Mak Teh itu sebati dengan isi ikan temenung segar yang berlemak dan manis.

Gulai tersebut enak dimakan bersama lempeng kelapa atau pek nga yang merupakan makanan kegemaran masyarakat Utara.

Pek nga di gerai Mak Teh Gulai Temenung diperbuat daripada kelapa hijau atau kelapa muda sahaja.

Ini bagi menjamin rasa manis santan semula jadi serta berlemak, sekali gus memberikan kepuasan kepada sesiapa sahaja yang menjamahnya.

Menurut anak pemilik gerai, Siti Baizura Md. Salleh, ‘kesegaran’ merupakan ciri penting yang diterapkan dalam semua menu di gerai keluarganya, sejak ia dibuka pada 1997.

“Gerai kami terletak di Kuala Sanglang yang dekat dengan jeti nelayan. Jadi, masyarakat di sini sememangnya sangat peka dengan kesegaran ikan.

“Oleh itu, kami memang sediakan bahan mentah yang segar untuk dipadankan dengan rempah olahan warisan keluarga kami.

“Kombinasi ini merupakan kekuatan masakan di sini. Kini, ia sudah sebati dengan masyarakat.

“Walaupun mereka merantau, namun mereka pasti cari masakan kami jika pulang ke sini,” katanya kepada Horizon.

Tambah Siti Baizura, pihaknya memerlukan sebanyak 30 kilogram (kg) ikan temenung pada hari biasa manakala sebanyak 40 hingga 50 kg pada hari minggu atau cuti umum.

Namun, dia tidak nafikan mereka terpaksa menggunakan alternatif lain sekiranya ribut melanda sehingga menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

SAADIAH menunjukkan sebahagian menu menarik yang terdapat di gerai Mak Teh Gulai Temenung, Simpang Ampat, Kedah.

“Terdapat keadaan yang kami tidak boleh kawal seperti cuaca tidak menentu, sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan ikan.

“Jadi, kami akan guna alternatif iaitu ikan kotak atau ikan beku.

“Bagaimanapun, kami sedaya upaya akan memastikan ikan kami segar dari laut,” katanya,

Ujarnya lagi, pelanggan yang tidak mahu makan gulai bersama pek nga, mereka boleh menikmatinya dengan nasi putih panas.

Selain gulai ikan temenung dan sembilang, gerai tersebut turut menjual masakan panas lain.

Antaranya, sotong goreng, aneka ikan bakar, telur sembilang masak sambal, udang sambal leleh dan sebagainya.

Malah, pelanggan boleh memesan sebarang masakan panas dari dapur selagi bahan-bahannya mencukupi.

“Gerai kami dibuka dari pagi hingga petang. Pelanggan boleh memesan masakan panas pada bila-bila masa.

“Bagi pelanggan yang mahu makanan ‘berat’ seawal pukul 9 pagi, mereka boleh datang ke gerai ini,” jelasnya.

Bukan itu saja, gerai yang diasaskan ibunya, Saadiah Baharom turut menjual kuih-muih.

Antaranya, cakoi, burger Malaysia serta pulut sambal yang lembut dan berlemak.

Menurut Siti Baizura, makanan tersebut sering dijadikan bekalan bagi masyarakat setempat untuk dibawa pulang.

“Pelanggan sangat sukakan kuih-muih kami yang bersaiz besar. Mereka sering memesannya selepas makan nasi.

“Kuih seperti cakoi dihidangkan bersama kaya ketika panas supaya lebih enak dinikmati,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI